ad
BERITA UTAMA

Selangor himpun cendekiawan Islam, gabung semangat pengajian pondok dan moden

11 Jul 2025, 4:50 AM
Selangor himpun cendekiawan Islam, gabung semangat pengajian pondok dan moden
Selangor himpun cendekiawan Islam, gabung semangat pengajian pondok dan moden
Selangor himpun cendekiawan Islam, gabung semangat pengajian pondok dan moden

Oleh Nadiah Zamlus

Sejak dua tahun lalu Dato’ Menteri Besar tekad menjadikan Selangor sebagai pusat ilmu turath. Harapannya, negeri ini diiktiraf setanding institusi hebat seperti Baitul Hikmah di Baghdad, Iraq dan Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi.

Baitul Hikmah bukan sekadar pusat rujukan tetapi 'jantung' tamadun Islam pada zaman Abbasiyah. Ia menjadi lokasi tumpuan cendekiawan Islam dalam pelbagai cabang pengetahuan.

Begitu jugalah visi Dato’ Seri Amirudin Shari mahu menjadikan Selangor sebagai medan pengembangan ilmu yang bukan hanya 'hidup' dalam buku tetapi di hati rakyat.

[caption id="attachment_709850" align="alignleft" width="342"] Pengarah Sekretariat Festival Turath Islami Selangor Al-Mustaqeem M Radhi kepada Media Selangor.[/caption]

Justeru, lahirlah Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang menggabungkan semangat pengajian pondok dan moden.

Edisi sulung pada 2023 menarik kira-kira 5,000 pengunjung. Tahun kedua penganjurannya menyaksikan lonjakan luar biasa dengan kehadiran hampir 30,000 peserta dari dalam dan luar negara.

FTIS bukan sekadar wacana atau forum ilmiah, tetapi medan menadah kitab secara talaqqi. Ia satu bentuk pengajian bersanad yang jarang diperoleh di luar institusi pondok.

Peserta berpeluang duduk berhadapan dengan ulama besar dan belajar ayat demi ayat, kalimah demi kalimah seperti zaman silam.

Antara pengalaman paling mahal ialah kehadiran bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab yang dua tahun berturut-turut mengupas Kitab Hadis 40 Imam An-Nawawi.

"Tahun ini, kita bawa lebih ramai tokoh supaya lebih banyak peluang belajar secara langsung,” kata Pengarah Sekretariat FTIS Al-Mustaqeem M Radhi kepada Media Selangor.

Peserta luar negara

Beliau mendedahkan ramai peserta datang dari luar negara, semata-mata untuk menimba ilmu dalam suasana talaqqi yang jarang diperoleh di tempat lain.

Malah, beliau turut berkongsi cerita mengenai keterujaan seorang wanita Mesir yang sanggup terbang ke Selangor semata-mata ingin mengikuti kuliah ilmu Sheikh Ali.

"Dia (wanita itu) tidak dapat (peluang) di Mesir. Padahal Sheikh Ali dari Mesir. Sebab apa? Sheikh Ali ada sebut beliau sangat suka orang Malaysia kerana sifat lemah-lembut mereka," katanya.

Tahun ini, FTIS melangkah setapak lagi. Lima tokoh ilmuwan Islam terkemuka - Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Prof Dr Idris al-Kharshafi, Dr Mohammad Akram an-Nadwi, Dr Majd Makki dan Dr Adi Hidayat dijemput mengupas dua kitab tafsir agung karya Imam as-Suyuti.

[caption id="attachment_709852" align="alignright" width="427"] Pengerusi Festival Turath Islami Selangor Ammar Gazali[/caption]

Setiap tahun, temanya berbeza. Bermula dengan kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali, disusuli Hadis 40 Imam An-Nawawi menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini, tumpuan diberikan kepada ilmu tafsir menerusi Tafsir al-Jalalain yang begitu dekat dengan dunia Melayu.

Pengerusi FTIS Ammar Gazali menyifatkan gabungan pendekatan pondok dan pengajian moden menjadikan FTIS medan ilmu unik dan seimbang.

“Dato’ Menteri Besar melihat pendidikan Islam dalam skop lebih luas. Karya berusia ratusan tahun ini perlu digali semula agar menjadi panduan dalam dunia moden,” katanya.

Beliau mengakui tidak ramai mengikuti ilmu pengajian Islam secara mendalam. Lazimnya hanya di peringkat ijazah sarjana muda selama tiga atau empat tahun. Sebaliknya, pengajian pondok lebih ketat dan disiplin.

Melalui festival ini, pelajar sekolah agama dan masyarakat umum diberi peluang menelusuri pengalaman talaqqi yang menghubungkan ilmu, kitab dan guru secara langsung.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.