BANGI, 11 JULAI: Hampir 100 guru bergelar huffaz al-Quran bakal dilahirkan Universiti Islam Selangor (UIS) selaras dengan misi institusi itu untuk mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah.
Naib Canselornya Dato’ Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata ia membabitkan mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Kepujian (Pendidikan Tahfiz Al-Quran Dan AlQiraat) yang kini sebahagiannya sedang menjalani latihan industri.
“Kursus ini bermula sejak 2021 dan diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia, juga membantu mengisi kekosangan sekolah dengan guru program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).
“Kewujudan sarjana muda ini juga salah satu usaha UIS untuk terus kekal relevan sebagai universiti Islam. Kami juga sentiasa menyemak program dan melihat keseimbangan dengan keperluan semasa,” katanya ketika ketika Majlis Minum Petang UIS bersama media di Hotel Tenera, hari ini.
Dr Mohd Farid menegaskan institusi pengajian tinggi bukan entiti menjana pendapatan sebaliknya menjadi tempat membetulkan masyarakat dan melahirkan generasi seimbang dunia dan akhirat.
“UIS tidak mahu graduan jadi terumbang ambing, seperti disebut bekas pensyarah Universiti Havard, Harry R Lewis dalam bukunya Excellence Without a Soul, tulis beliau institusi itu hanya melihat kecemerlangan tanpa melihat ke arah mana graduan mereka akan pergi dan jadi apa.
“Akhirnya anak bangsa itu hanya mengisi kekosongan universiti. Sebab itu kita mahu graduan UIS keluar dari universiti ini dan ‘selamat’. Kita tidak mahu kecemerlangan tanpa jiwa,” jelasnya lagi.