SABAK BERNAM, 10 JULAI: Hampir RM600,000 peruntukan bencana tahun ini sudah diagihkan setakat awal Julai, dengan separuh darinya membantu mangsa letupan Putra Heights.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata bantuan turut diagih kepada mangsa terlibat bencana seperti ribut, banjir dan tanah runtuh.
[caption id="attachment_709724" align="aligncenter" width="718"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama Penyelaras DUN Sungai Burong Maruwan Ahmad dan Dato' Sulaiman Abdul Razak bergambar bersama penerima selepas majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Ribut di Dewan Mini Kampung Parit Empat, Sabak Bernam pada 10 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Setiap tahun MBI akan memperuntukkan RM1 juta bagi membantu meringankan beban mangsa bencana.
“Setakat awal Julai, hampir RM600,000 sudah diagihkan. Paling besar Putra Heights melibatkan peruntukan kira-kira RM300,000,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan kepada 22 penduduk dan peniaga Parit 4, Sungai Burong yang terjejas akibat ribut kuat pada Mac lalu.
[caption id="attachment_709725" align="aligncenter" width="704"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan cek cura kepada guru besar Sekolah Kebangsaan Parit Empat ketika majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Ribut di Dewan Mini Kampung Parit Empat, Sabak Bernam pada 10 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam kejadian letupan saluran gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April, anak syarikat Kerajaan Negeri itu menyumbang RM10,000 untuk keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) dan wang tunai RM500 kepada setiap 265 pelajar sekolah.
Selain itu, seramai 37 mahasiswa terjejas menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200.