OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 10 JULAI: Seramai 226 peserta mengikuti program Insentif Digital Media Usahanita Muda (Usahanita Digital) yang diadakan bermula pada 10 April hingga 28 Jun tahun ini.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata program anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) bertujuan meningkatkan keusahawanan wanita di Selangor untuk mengembangkan perniagaan mengikut trend semasa.
“Dalam tempoh tersebut setiap peserta diberikan latihan, bimbingan dan pendedahan menyeluruh antaranya dalam aspek pemasaran digital, penghasilan kandungan laman sesawang dan kemahiran asas lanjutan dalam pengurusan perniagaan digital.
“Program ini menerima seramai 226 peserta, daripada jumlah ini penyertaan disaring dan disusun mengikut lima fasa sehingga 10 finalis terpilih ke peringkat akhir dan menerima anugerah Ikon Usahanita Digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Ikon Usahanita Digital 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Menerusi majlis itu, Anfaal berkata 10 finalis rata-ratanya terdiri daripada usahawan wanita muda dengan pelbagai latar belakang perniagaan seperti makanan, pendidikan awal kanak-kanak, spa kecantikan, seni tangan, teknologi dan produk penjagaan haiwan peliharaan.
Jelasnya, penilaian dibuat oleh panel profesional antaranya daripada Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Platform Selangor (PLATS), Yayasan Hijrah, Yayasan Wakaf Khadijah dan Appengage.
“Kita percaya bahawa program seperti ini akan terus menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti usahawan wanita muda yang lebih progresif, inovatif dan berdikari dalam era digital.
“WBS komited untuk meneruskan usaha dalam memperluas ruang dan peluang kepada wanita Selangor agar mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara,” katanya.