ad
AGENDA

Kenaikan tarif air tidak libatkan penerima SADE, penggunaan rendah

10 Jul 2025, 11:06 AM
Kenaikan tarif air tidak libatkan penerima SADE, penggunaan rendah

OLEH UFAIRAH TARMIDZI

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kenaikan tarif air yang sedang dipertimbangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika ini bukan permohonan baharu sebaliknya merupakan sebahagian daripada permohonan yang dilakukan tahun lalu.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata permohonan tersebut adalah penting bagi memastikan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dapat terus beroperasi dengan baik dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna di seluruh negeri.

“Permohonan ini bukan permohonan yang baharu kerana ia adalah kesinambungan daripada fasa pertama yang telah diluluskan sebelum ini.

“Kadar yang dicadangkan juga adalah berpatutan dan masih dalam pertimbangan akhir oleh pihak SPAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izham turut menegaskan bahawa sebarang kenaikan tarif dilaksanakan tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) atau pengguna yang menggunakan kurang daripada 20 meter padu sebulan.

Tambah beliau, tujuan utama pelarasan kadar ini adalah bagi menggalakkan penggunaan air yang lebih berhemah dalam kalangan pengguna selain Kerajaan Negeri akan terus memantau proses tersebut agar sebarang pelaksanaan adil dan mengambil kira keperluan semua pihak.

Semalam, SPAN mengesahkan telah menerima permohonan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidmatan di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu.

Bagaimanapun, SPAN berkata, pihaknya masih meneliti permohonan daripada Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang sebelum sebarang pertimbangan diberikan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.