ad
ADN

Kutipan sisa pepejal semua PBT capai pematuhan lebih 90 peratus

10 Jul 2025, 9:28 AM
Kutipan sisa pepejal semua PBT capai pematuhan lebih 90 peratus

OLEH AMAR SHAH MOHSEN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kutipan sisa pepejal di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mencatat kadar pematuhan melebihi 90 peratus setiap tahun.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata, pencapaian itu hasil pemantauan prestasi berkala oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bersama setiap PBT.

“Bagi suku pertama tahun 2025, KDEBWM merekodkan purata kadar pematuhan sebanyak 87 peratus terhadap kutipan sisa pepejal domestik mengikut Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA),” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Lwi Kian Keong dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah beliau, SLA menetapkan pelbagai indikator kualiti yang perlu dipatuhi, termasuk kekerapan kutipan sampah domestik dan pukal, masa tindak balas terhadap aduan, tahap kebersihan di lokasi kutipan, serta kepatuhan kepada jadual kutipan mengikut zon.

Turut dinilai ialah aspek pengurusan logistik, penyelenggaraan kenderaan, pematuhan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan pakaian seragam keselamatan, serta dokumentasi lengkap seperti laporan bulanan.

“Kerajaan Negeri menerusi KDEBWM kekal komited memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal oleh PBT dilaksana secara cekap, menepati jadual, serta memenuhi piawaian perkhidmatan yang ditetapkan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.