SHAH ALAM, 10 JULAI: Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) perlu menyemak semula tunggakan sewa mencecah RM3.24 juta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kawasan DUN Kota Damansara.
Wakil rakyatnya Izuan Kasim berkata sebanyak 117 perjanjian sewa PPR didapati tidak ditandatangani penyewa sekali gus memerlukan perhatian yang serius daripada agensi tersebut.
“Terdapat penyewa yang datang ke pejabat DUN Kota Damansara memohon bantuan, yang mana bila saya melihat kembali jumlah tunggakannya ada yang sampai tiga tahun tidak bayar satu sen pun.
“Ada juga yang tiga tahun tidak bayar dan mereka masih lagi menduduki PPR Kota Damansara, dengan PPR Hicom dan PPR Serendah,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri di sini, hari ini.
Izuan turut mencadangkan pihak berkaitan meneliti semula kelayakan sewaan PPR susulan 7.8 peratus penghuni dikesan mempunyai pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.
“Isu ini bukan sesuatu perkara yang remeh kerana setiap perjanjian itu mesti ditandangani oleh dua parti. Jika ada perkara berbangkit kelak semestinya pegawai-pegawai yang berada di LPHS perlu bertanggungjawab.
“Apabila perkara ini dibangkitkan kembali dokumen-dokumen sedia ada ini tidak mencapai piawaian jadi saya mohon perkara-perkara sekecil ini perlu diambil perhatian,” ujarnya.