ad
SELANGOR

NGO: Semak semula silibus undang-undang, keselamatan di jalan raya

10 Jul 2025, 8:47 AM
NGO: Semak semula silibus undang-undang, keselamatan di jalan raya

Oleh: Muhammad Rey Hazriell

SHAH ALAM, 10 JULAI: Isu keselamatan penunggang basikal di jalan raya perlu diberi perhatian menyeluruh termasuk menyemak semula sistem pendidikan trafik dan undang-undang lama, kata Timbalan Presiden Malaysia Mesra Basikal Akmal Azfar Abd Mutalib.

Beliau berkata insiden yang tular melibatkan pemandu bas dan sekumpulan penunggang basikal baru-baru ini menunjukkan wujud salah faham dan jurang kesedaran dalam kalangan pemandu dan penunggang.

“Sekarang ramai penunggang basikal ikut cara luar negara seperti berkayuh berpasangan dua lorong, tapi itu bukan undang-undang kita dan tak sesuai di sini,” katanya.

Tambahnya, berlaku kekeliruan apabila penunggang mengambil contoh sistem di negara maju tanpa memahami konteks perundangan tempatan.

Akmal Azfar, 37, berkata, isu itu bukan soal siapa betul atau salah tetapi soal persefahaman, toleransi dan tanggungjawab bersama di jalan raya.

“Pemandu dan penunggang basikal perlu saling bertimbang rasa, ini jalan kita kongsi sama-sama,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar silibus keselamatan jalan raya di sekolah dikemas kini kerana masih tidak memasukkan komponen asas tentang keselamatan penunggang basikal.

Katanya sudah tiba masa kaedah pendidikan dan keselamatan jalan raya dikaji semula supaya lebih sesuai dengan realiti trafik hari ini.

“Undang-undang lalu lintas kita dari 1959, banyak benda dah tak relevan… perlu ada semakan semula yang libatkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mencadangkan modul lesen memandu juga diperluas merangkumi cara pemandu berinteraksi dengan pengguna jalan bukan bermotor seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.

“Realitinya, pengguna kereta bawa lesen yang boleh jadi lesen membunuh kalau mereka tak faham tanggungjawab berkongsi jalan,” tegasnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.