ad
EXCO

Program usahawan Selangor tidak pinggir belia luar bandar

10 Jul 2025, 8:06 AM
Program usahawan Selangor tidak pinggir belia luar bandar

OLEH AMAR SHAH MOHSEN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Program keusahawanan di Selangor bersifat inklusif bagi memastikan semua golongan belia termasuk di kawasan luar bandar turut terlibat, kata EXCO Pembangunan Usahawan, Belia dan Sukan, Mohd Najwan Halimi.

Menurut beliau Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah menyeluruh dengan menyediakan latihan dan pembangunan kapasiti bagi memperkasa belia sebagai tonggak ekonomi Selangor.

“Kami melihat kepada semua segmen belia di peringkat negeri. Bukan hanya tumpu kepada belia bandar, kami turut laksanakan untuk belia luar bandar.

“Beberapa program telah dilaksanakan khusus untuk belia luar bandar termasuk Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS). Tiada kumpulan belia yang kami abaikan. Kami beri keutamaan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Semenyih, Nushi Mahfodz mengenai akses belia luar bandar kepada program keusahawanan negeri di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Mohd Najwan, program keusahawanan itu dilaksanakan melalui kerjasama Jawatankuasa Usahawan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan rakan strategik seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Selangor Youth Community (SAY) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri membangunkan ekosistem keusahawanan yang dinamik, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Antara program yang dilaksanakan ialah U-Plats, SAY Entrepreneur League, SAY Aspire, Selangor Export Day, Program Penambahbaikan Pembungkusan Produk, DUMS, Skim Mikro Kredit Hijrah Selangor serta penganjuran ekspo dan pameran keusahawanan.

Inisiatif itu menawarkan pelbagai sokongan termasuk suntikan modal, pinjaman, bantuan peralatan dan pendedahan ke pasaran antarabangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.