ad
AGENDA

Pakar: Indeks jisim badan bukan penunjuk tepat tahap kesihatan, kecergasan

10 Jul 2025, 7:38 AM
Pakar: Indeks jisim badan bukan penunjuk tepat tahap kesihatan, kecergasan

Oleh Nur Azyyati Omar

SHAH ALAM, 10 JULAI: Indeks Jisim Badan (BMI) tidak boleh dijadikan sebagai penunjuk yang tepat tahap kesihatan secara menyeluruh, sebaliknya perlu dinilai bersama ukuran lain seperti penanda darah, peratusan lemak badan dan penunjuk metabolik.

Pakar kesihatan dan dan profesional kesihatan sepakat berhubung perkara tersebut susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, minggu lalu apabila dia mengumumkan pegawai dengan BMI melebihi 27 tidak layak naik pangkat bermula Januari 2026.

“Adalah sesuatu yang baik apabila ada usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan anggota organisasi.

"Namun, menggunakan BMI sebagai penentu kelayakan kenaikan pangkat boleh dianggap terlalu drastik, memandangkan individu dengan BMI yang tinggi tidak semestinya tidak cergas untuk bekerja dalam organisasi tersebut,” kata pakar pemakanan dan bekas Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Tee Ee Seong seperti dilapor portal Malaysiakini.

Sehubungan itu, Pengurus Besar syarikat pengendali perkhidmatan perubatan pihak ketiga PMCare, Dr Fong Yeat Min pula berkata walaupun dia memuji usaha SPRM menggalakkan gaya hidup sihat, pelaksanaan dasar kenaikan pangkat berasaskan BMI secara ketat boleh menimbulkan kesan negatif, termasuk stigma serta terlepasnya peluang bagi individu yang sebenarnya sihat dan berkeupayaan.

“Pakar kesihatan mengiktiraf bahawa BMI mempunyai peranannya, tetapi ia turut mempunyai batasan. Kini semakin ramai dalam komuniti perubatan bersetuju bahawa BMI bukanlah penanda kesihatan yang lengkap kerana ia tidak membezakan antara otot dan lemak, serta tidak mengambil kira pengagihan lemak dan fungsi metabolik — yang semuanya sangat mempengaruhi risiko penyakit.

“Ada konteks tertentu (seperti kerjaya dalam perkhidmatan kecemasan, angkatan tentera dan peranan operasi berisiko tinggi) dengan tahap kecergasan fizikal tertentu adalah perlu, dan BMI boleh menjadi petunjuk awal. Namun, dalam situasi sebegitu sekalipun, BMI sahaja tidak mencukupi,” katanya.

Dr Fong turut menjelaskan Garis Panduan Amalan Klinikal Malaysia juga mengakui kelemahan BMI dan mengesyorkan agar penilaian berat badan sihat dibuat bersama ukuran lilitan pinggang, parameter metabolik, serta keadaan komorbid (penyakit bersampingan).

“Bagi menilai kesesuaian kerjaya, lebih wajar menggunakan ujian kecergasan, penilaian kekuatan, daya tahan kardiovaskular dan saringan metabolik. Ini lebih menggambarkan sama ada seseorang itu mampu menjalankan tugasnya dengan selamat dan berkesan.

“Dalam erti kata lain, BMI seharusnya dijadikan permulaan kepada penilaian lanjut, bukan sebagai penentu muktamad,” ujar beliau.

Dr Nor Baizura Md Yusop daripada Persatuan Komposisi Badan Malaysia turut bersetuju pendekatan yang lebih menyeluruh perlu diambil bagi membawa perubahan yang benar-benar bermakna dan berkekalan.

“Dengan lebih separuh rakyat Malaysia kini mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes, serta kadar diabetes (satu daripada enam orang dewasa), hipertensi (satu daripada tiga orang) dan kolesterol tinggi (satu daripada dua), usaha mempromosi gaya hidup sihat adalah tanggungjawab bersama.”

Dia berkata institusi seperti SPRM boleh memainkan peranan kepimpinan dalam perjalanan ini, bukan dengan menyisihkan individu, tetapi dengan menunjukkan contoh yang positif.

'Penanda BMI boleh mengelirukan'

Jurulatih kecergasan, K Kartik, juga berpendapat bahawa walaupun BMI memberi gambaran pantas mengenai kategori berat badan, ia tidak mengambil kira jisim otot, pengagihan lemak, atau tahap kecergasan sebenar — yang sering kali boleh mengelirukan.

“Sebagai contoh, BMI seorang ahli bina badan mungkin menunjukkan mereka sebagai berlebihan berat, sedangkan mereka memiliki lebih banyak otot daripada lemak,” katanya.

Kartik turut menyokong cadangan sama seperti para doktor lain, yang menekankan bahawa strategi holistik dan tidak bersifat menghukum adalah lebih berkesan dalam menggalakkan gaya hidup sihat.

Antara cadangan tersebut termasuk memperkenalkan menu yang lebih sihat di kafeteria tempat kerja, menambah akses kepada khidmat kaunseling pemakanan dan latihan kecergasan, meningkatkan kemudahan senaman, serta menyediakan sokongan kepada kesihatan mental dan psikososial.

Sementara itu, Dr T Darshini — seorang pengamal perubatan am dan juga ahli bina badan — turut menegaskan bahawa matlamat utama memiliki tubuh sihat untuk mencapai “indeks keseimbangan yang lestari”, bukan bergantung kepada satu parameter seperti BMI sahaja.

Dia berkata individu seharusnya berusaha untuk membuat perubahan gaya hidup yang boleh dikekalkan, yang secara perlahan-lahan akan membantu mencapai matlamat jangka panjang — termasuk mengamalkan pemakanan berhemah, mengetahui keperluan kalori harian, dan mengutamakan tidur yang mencukupi.

“Perubahan tidak berlaku dalam tempoh yang singkat.

“Adalah baik untuk menggalakkan pekerja menjaga kesihatan mereka, tetapi menilai isu ini semata-mata melalui BMI bukanlah pendekatan terbaik untuk jangka panjang."

Katanya majikan boleh melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan penganjuran acara kecergasan yang bermanfaat kepada pekerja mereka serta mewujudkan persekitaran yang menyeronokkan dan bebas tekanan bagi menjamin kelestarian dan pematuhan dalam jangka masa panjang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.