ad
AGENDA

Helikopter polis kemalangan, lima selamat termasuk juruterbang

10 Jul 2025, 5:43 AM
Helikopter polis kemalangan, lima selamat termasuk juruterbang

GELANG PATAH, 10 JULAI: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam kemalangan pagi ini ketika menjalani simulasi lintas hormat sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) berhampiran Sungai Pulai, di sini, kira-kira 35 kilometer dari Johor Bahru.

Insiden itu berlaku di perairan berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), iaitu lokasi latihan yang melibatkan empat negara - Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.

Menurut CAAM helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh PDRM berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.

Wartawan yang berada di lokasi bagi membuat liputan program turut menyaksikan sendiri kejadian tersebut.

"Kesemua lima mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.

"Mangsa dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut  perubatan,” menurut kenyataan itu.

CAAM memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.