ad
AGENDA

Selangor kuasa ekonomi, KDNK lepasi ambang RM400 bilion dua tahun berturut

10 Jul 2025, 5:27 AM
Selangor kuasa ekonomi, KDNK lepasi ambang RM400 bilion dua tahun berturut

SHAH ALAM, 10 JULAI: Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi apabila merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM432.1 bilion pada tahun lalu, tertinggi dalam negara.

Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) memaklumkan pencapaian tersebut menandakan lonjakan ketara daripada RM406.1 bilion pada 2023, sekali gus Selangor merupakan negeri pertama dan satu-satunya yang melepasi ambang RM400 bilion bagi tempoh dua tahun.

“Prestasi cemerlang ini membuktikan peranan Selangor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, menyumbang 26.2 peratus daripada jumlah KDNK, meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya.

“Daya tahan ekonomi Selangor dan momentum menaik dibuktikan lagi dengan kadar pertumbuhan KDNK dari tahun ke tahun yang teguh sebanyak 6.3 peratus, mengatasi prestasi purata nasional sebanyak 5.1 peratus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Invest Selangor, pencapaian tersebut mencerminkan asas ekonomi negeri yang kukuh, keyakinan mampan pelabur serta usaha strategik negeri untuk memacu pertumbuhan berimpak tinggi dan inklusif.

Tambah agensi itu, sektor pengeluaran perkilangan menyumbang 32.9 peratus sekali gus mengesahkan kedudukan Selangor sebagai kuasa perindustrian terkemuka negara.

Jelasnya, Selangor juga mendahului dalam sektor perkhidmatan dengan merekodkan 61.1 peratus yang berkembang sebanyak 6.3 peratus pada tahun lalu, dengan jumlah RM263.9 bilion.

“Pertumbuhan ini disokong oleh subsektor seperti perdagangan borong dan runcit, makanan minuman dan penginapan, utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, komunikasi maklumat, kewangan dan perkhidmatan insurans, hartanah serta perniagaan.

“Penyumbang kedua terbesar ialah sektor pembuatan yang menyumbang 29.1 peratus, didorong oleh subsektor seperti elektrik dan elektronik, minyak dan lemak sayuran dan haiwan, pemprosesan makanan, minuman serta kelengkapan pengangkutan,” katanya.

Dalam pada itu, Invest Selangor berhasrat mengukuhkan lagi daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 pada Oktober depan.

Menurutnya, acara edisi ke sembilan itu merupakan antara acara perdagangan dan pelaburan utama di Asia Tenggara yang berupaya memupuk interaksi dan pemadanan perniagaan, pertukaran pengetahuan dan perkongsian global.

“Prestasi KDNK Selangor yang mengagumkan adalah hasil perancangan jangka panjang dan inisiatif yang disasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti merentas industri pertumbuhan tinggi,” katanya.

SIBS 2025 dijadual berlangsung bermula 8 hingga 11 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.