SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Negeri akan merampas tanah yang diberikan untuk pembinaan rumah ibadat jika tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata kebenaran tersebut wajar ditarik balik semula kerana pihak berkaitan gagal membina rumah ibadat dalam waktu ditetapkan.
"Kerajaan Negeri sangat inklusif dan terbuka dalam meraikan kepelbagaian agama. Sejak 2008 hingga sekarang sebanyak 400 slot tanah diberikan untuk membina tokong dan kuil.
"Setelah tanah telah diberikan, mereka perlu bina dalam tempoh tertentu. Jika mereka tidak bina dalam tempoh lima tahun kita akan lucut dan ambil semula tanah itu.
"Ada keperluan bina rumah ibadat dan tanah telah diberikan, kenapa dibiarkan. Kita akan pastikan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) selaraskan dan berhak tarik balik," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Pelek Lwi Kian Keong berkenaan tindakan terhadap permohonan rumah ibadat yang tidak membangunkannya dalam masa diberikan.
Terdahulu, Suee Lim memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu sentiasa memantau pembinaan rumah ibadat setelah permohonan itu mendapat kelulusan.
Katanya, penguatkuasaan di lapangan perlu dilaksana bagi memastikan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) lengkap mengikut perancangan yang telah diluluskan.
Jelasnya, PBT boleh mengambil tindakan tegas termasuk menghentikan pembinaan sekiranya pihak berkaitan gagal mengikut kebenaran merancang yang diberikan.