SHAH ALAM, 10 JULAI: Selangor akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data berkaitan graduan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata kerjasama menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) itu akan memudahkan mengakses kemahiran pekerja dan sumber manusia ditawarkan di Selangor.
"Selangor mempunyai Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISAS) diperkenal pada 2019 bagi meningkatkan keupayaan seperti dalam bidang aeroangkasa kepada pelajar yang tamat pengajian manakala kerajaan persekutuan pula ada politeknik yang tawar kejuruteraan penerbangan.
"Kita melihat perlu ada kerjasama menyeluruh dan menerusi STDC kita akan bergabung dengan Kementerian Pendidikan bersama kolej komuniti bagi mewujud pangkalan data.
"Pangkalan data ini akan menggabungkan semua graduan dengan pelabur yang masuk bagi memudahkan melihat kemahiran pekerja dan sumber manusia ditawar di Selangor. Cadangan ini akan dikemukakan dalam belanjawan akan datang untuk rancangan tahun hadapan," katanya hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Burong Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berhubung kewujudan pangkalan data untuk graduan TVET mengikut kemahiran pada sidang Dewan Negeri Selangor.
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang mempergiat usaha menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama graduan.
"Ini adalah cabaran kita, semua beranggapan hanya universiti memberi peluang pekerjaan sedangkan bidang TVET banyak lagi yang belum diisi sepenuhnya kerana beranggapan ia peluang kedua.
"Pemikiran ini perlu diubah dan sebab itu tahun hadapan kita akan bergabung dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk berkongsi tawaran pekerjaan bidang TVET di peringkat sekolah menengah lagi," katanya.
[caption id="attachment_504712" align="aligncenter" width="1246"] Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian enjin kenderaan yang rosak setelah ditenggelami air. Foto Arkib Selangorkini[/caption]