SHAH ALAM, 10 JULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan ucapan dan doa selamat ulang tahun kelahiran ke-100 bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Anwar menyatakan harapan agar negarawan itu terus dikurniakan kesihatan, ketenangan jiwa dan keberkatan.
“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan tinggi,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT terus merahmati Tun Dr Mahathir.
Tun Dr Mahathir merupakan perdana menteri ke-4 (1981-2003) dan ke-7 (2018-2020).