SEPANG, 10 JULAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya meraih 19 pingat emas pada Kejohanan World Police and Fire Games Birmingham 2025 (WPFG 2025) di Alabama, Amerika Syarikat yang berlangsung dari 30 Jun hingga 5 Julai lalu.
Pasukan itu yang diwakili 34 atlet, turut merangkul 17 pingat perak dan 10 pingat gangsa pada kejohanan berkenaan.
Acara tenpin boling menyaksikan pencapaian terbaik JBPM apabila berjaya memenangi tujuh pingat emas diikuti golf dengan enam pingat emas dan masing-masing tiga pingat emas bagi sukan dart dan bina badan.
Penyertaan sulung JBPM dalam kategori bina badan yang berjaya meraih pingat emas menjadikan pencetus semangat untuk terus memperkasakan penglibatan dalam acara baharu.
Bagi pingat perak pula, sukan golf berjaya menyumbang lapan pingat diikuti tenpin boling (enam pingat), dart (dua pingat) dan kutipan satu pingat oleh atlet push pull and bench press.
Sejumlah 10 pingat gangsa disumbangkan menerusi sukan tenpin boling (enam pingat), golf (tiga pingat) dan satu pingat daripada sukan dart.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad dalam kenyataan berkata kejayaan yang dicatat oleh kontinjen JBPM didorong tahap disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan sekali gus melonjakkan prestasi dan pencapaian mereka dalam kesemua acara yang disertai.
“Dua tahun lagi, kejohanan ini akan diadakan di Perth, Australia, dan kini kita sudah boleh baca (nilai) keupayaan kita, insya-Allah, kita akan menghantar lebih ramai atlet bina badan untuk mewakili jabatan dan negara.
“Jadi, kepada semua peminat sukan bina badan, mulakan latihan dari sekarang supaya boleh turut serta dalam kejohanan akan datang dan lihat peluang untuk kita mencipta nama pada peringkat antarabangsa,” katanya.
- BERNAMA