SHAH ALAM, 10 JULAI: Pihak berkuasa menjalankan operasi bersepadu bagi menangani aktiviti pembakaran terbuka dan pencerobohan tanah kerajaan oleh operator ladang lembu di Sungai Tangkas, Kajang, semalam.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata tindakan itu diambil selepas menerima aduan penduduk berhubung pencerobohan tanah kerajaan dan pembakaran terbuka di kawasan itu.
Menurut beliau, beberapa notis telah dikeluarkan kepada wakil operator termasuk notis menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, notis pengosongan tempat dan notis larangan pembakaran terbuka.
"Operasi ini tertumpu kepada operator yang menduduki tapak tersebut. Operator ini memiliki kandang lembu dan mendirikan struktur tanpa kebenaran di kawasan tersebut.
"Semakan juga akan dibuat untuk menentukan sama ada terdapat pencerobohan ke atas tanah rizab jalan dan tanah perkuburan Sungai Tangkas oleh operator," katanya di Facebook.
Dalam operasi sama, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menjalankan siasatan di bawah Akta Kualiti Sekeliling 1974 ke atas operator yang disyaki terlibat di dalam kes pembakaran terbuka, manakala kompaun juga dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atas kesalahan buangan efluen.
"Saya ingin tegaskan bahawa ini hanya salah satu tapak yang disyaki terlibat dalam pembakaran. Terdapat tapak lain, yang tidak diduduki oleh sesiapa yang juga menjadi tapak pembuangan sampah haram dan kadangkala, dibakar.
"Badan-badan dan agensi-agensi akan terus mengusahakan supaya isu yang lama membelenggu penduduk ini dapat diselesaikan dengan tuntas. Terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama untuk menjayakan operasi ini," katanya.
Agensi terlibat operasi itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kajang, MPKj, Jabatan Veterinar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis Kajang.
Operasi juga disokong oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bangi, Ahli Majlis MPKj Zon 18 Ramadan Lotphi dan JPKK Sg Tangkas dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pada 27 Jun lalu, Media Selangor melaporkan masalah tapak sampah haram dan pembakaran terbuka di sekitar Sungai Tangkas, Kajang terus berulang.
Syahredzan berkata isu yang berlarutan sejak sekian lama itu memerlukan penyelesaian yang menyeluruh dan mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.
Susulan itu, pada 6 Julai, EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim menggesa supaya pihak tidak bertangungjawab itu menghentikan segera kegiatan itu atau berdepan tindakan tegas.
[caption id="attachment_709559" align="aligncenter" width="1045"] Pihak berkuasa menjalankan operasi bersepadu bagi menangani aktiviti pembakaran terbuka dan pencerobohan tanah kerajaan oleh operator ladang lembu di Sungai Tangkas, Kajang, pada 9 Julai 2025. Foto Facebook Syahredzan Johan[/caption]