ad
AGENDA

Iran seru negara serantau siap siaga tangani perluasan kuasa Israel

9 Jul 2025, 2:45 PM
Iran seru negara serantau siap siaga tangani perluasan kuasa Israel

TEHRAN, 9 JUL: Menteri Luar Iran Abbas Araqchi memberi amaran mengenai akibat serius daripada usaha perluasan kuasa dan dominasi rejim Israel, sambil menyeru negara-negara serantau mempergiat usaha membina dan mengukuhkan mekanisme keselamatan domestik, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Araqchi berkata demikian semasa pertemuan dengan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Khaled bin Salman, di Riyadh pada Selasa malam, ketika mereka membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan serantau susulan serangan tentera rejim Israel terhadap Iran.

Diplomat tertinggi Iran itu mengecam serangan tentera rejim Israel ke atas Iran, termasuk serangan terhadap kemudahan nuklear aman negara itu, sebagai “jenayah yang tidak boleh dimaafkan” dan “tindakan pencerobohan yang tidak pernah berlaku” terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.

Beliau turut berterima kasih kepada Arab Saudi atas pendirian tegas dan bertanggungjawab dalam mengecam serangan itu.

Araqchi juga mengalu-alukan rundingan keselamatan dan pertahanan antara kedua-dua negara yang berterusan serta menyifatkan lawatan menteri Arab Saudi baru-baru ini ke Tehran sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kestabilan serantau.

Menteri Pertahanan Arab Saudi, dalam pada itu, mengulangi kecaman negaranya terhadap serangan rejim Israel dan menyampaikan ucapan takziah atas kematian anggota tentera serta orang awam Iran.

Beliau menekankan kesan berbahaya akibat pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel baru-baru ini dan menggesa kerjasama lebih erat antara negara serantau bagi menghadapi ancaman yang menggugat kestabilan.

Khaled bin Salman turut memaklumkan menerusi X bahawa beliau telah bertemu dengan Menteri Luar Iran dan “menyemak pelbagai aspek kerjasama bersama.”

“Kami juga membincangkan perkembangan serantau dan usaha mempromosikan keselamatan serta kestabilan, bersama beberapa topik lain yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.

Araqchi melakukan lawatan singkat ke Arab Saudi pada Selasa dalam perjalanan pulang dari Sidang Kemuncak BRICS di Brazil bagi membincangkan hubungan dua hala serta keamanan dan keselamatan serantau. Sepanjang lawatannya, beliau turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Arab Saudi termasuk Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.

- BERNAMA-IRNA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.