SHAH ALAM, 9 JUL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memantau secara ketat pelaksanaan projek pembinaan pusat data berskala besar di Kundang susulan aduan penduduk sekitar Taman Tasik Biru.
Pengarah Jabatan Korporat MPS Ahmad Fauzi Ishak berkata pihaknya juga memastikan pemaju serta kontraktor mematuhi semua peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
Katanya, sesi libat urus diadakan semalam bersama Ahli Majlis Zon 19 Saharudin Abu Bakar, wakil penduduk, pemaju, kontraktor dan pegawai teknikal MPS bagi membincangkan isu berbangkit.
“Dalam sesi tersebut penduduk menyuarakan secara terbuka isu yang memberi kesan kepada kualiti hidup mereka dan memohon penambahbaikan segera termasuk langkah kawalan lebih ketat.
“Pihak pemaju memberi komitmen untuk melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk menambah baik langkah pencegahan dan pematuhan kepada garis panduan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Fauzi berkata MPS turut bekerjasama dengan agensi teknikal berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi memastikan isu ditangani secara menyeluruh.
“MPS tekad untuk memastikan kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan penduduk sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang pembangunan yang dilaksanakan dalam kawasan pentadbiran MPS,” katanya.
Pada 6 Julai, media melaporkan penduduk Taman Tasik Biru, Apartmen Laguna Biru 1 dan 2 mendesak tindakan segera terhadap projek pembinaan berhampiran yang didakwa menjejaskan kesihatan serta keselamatan komuniti.
Lebih 5,000 penghuni berdepan gangguan berpanjangan seperti debu, bau busuk, bunyi bising serta limpahan air tanah merah sejak enam bulan lalu, terutama ketika hujan lebat.