Pelantikan penasihat strategik dan MoU tiga hala tandai pencapaian utama
PETALING JAYA, 10 JULAI: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya dengan satu majlis gala, menandakan sedekad kejayaan dalam memacu transformasi digital dan pertumbuhan keusahawanan di Selangor.
Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dan dihadiri oleh para pemimpin kerajaan, pemegang taruh korporat, rakan teknologi serta tetamu antarabangsa. Dalam ucapan beliau, Menteri Besar mengulangi komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk terus memperkasa agenda ekonomi digital dan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab teknologi serantau.
Majlis tersebut turut menayangkan video imbasan perjalanan Sidec selama sedekad, menonjolkan peranannya dalam menyokong lebih 70,000 usahawan teknologi, PKS dan startup; menjana nilai dagangan kasar (GMV) melebihi RM736.12 juta; melaksanakan lebih 80 program dan inisiatif; serta melancarkan projek-projek utama seperti Malaysia Semiconductor IC Design Park dan misi pemecut global.
Antara sorotan utama malam tersebut adalah pelantikan tiga tokoh terkemuka sebagai penasihat, bagi memperkukuh hala tuju Sidec dalam inovasi, pembangunan bakat dan kepimpinan serantau dalam ekonomi digital:
● YBhg Dato' Lai Yit Loong, bekas Naib Presiden NVIDIA Corp dan Foxconn, dilantik sebagai Penasihat kepada Malaysia Semiconductor IC Design Park dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), dengan fokus kepada pembangunan bakat dan kerjasama rentas sempadan dalam bidang teknologi dan pembuatan semikonduktor.
● YBrs. Puan Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Eksekutif Polity, dilantik sebagai Penasihat kepada Sidec Sdn Bhd, membawa kepakaran dalam dasar awam, pembangunan sosio-ekonomi dan pemerkasaan digital.
● Dr. Chiang Shang-Yi, Pengarah Foxconn dan bekas Co-COO TSMC, turut dilantik sebagai Penasihat kepada Malaysia Semiconductor IC Design Park dan ASEM, berkongsi pengalaman luas dalam inovasi semikonduktor global dan pembangunan industri.
Pelantikan ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau dan mempercepat kemajuan ekosistem semikonduktor negara.
Sempena sambutan tersebut, Sidec turut berbesar hati menerima kunjungan Dr. Chiang Shang-Yi, tokoh legenda dalam industri semikonduktor global. Dalam sesi perkongsian khas, beliau menyampaikan pandangan bernas mengenai kedudukan Malaysia dalam landskap semikonduktor global, serta menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, pelaburan strategik dalam bakat, dan perkongsian awam-swasta untuk memperkukuh daya saing negara dalam teknologi berimpak tinggi.
Majlis turut meraikan graduan pertama Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP), iaitu inisiatif latihan antarabangsa selama dua bulan di bawah ASEM. Dijalankan di Shenzhen, China, program ini melatih 30 peserta terpilih daripada 343 permohonan, dengan kemahiran praktikal dalam Reka Bentuk IC Digital, termasuk penggunaan alat EDA, Verilog HDL dan verifikasi peringkat sistem. Para peserta turut menjalani lawatan industri ke organisasi teknologi terkemuka seperti HONOR, Reexen Technology, National IC Innovation Center dan Persidangan Dron Dunia Ke-9, yang menambahkan lagi pendedahan global mereka.
Sambutan ulang tahun ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tiga hala antara Sidec, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Artem Ventures, bagi memuktamadkan penubuhan Dana Semikonduktor Selangor (SSF) — inisiatif modal teroka pertama di Malaysia yang diterajui kerajaan negeri dan khusus untuk mempercepat pembangunan industri semikonduktor negara. Dana ini diterajui oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Sidec dan PNSB, dan dikendalikan bersama Artem Ventures. SSF memberi tumpuan kepada sokongan startup dan scaleup berpotensi tinggi dalam tiga bidang utama: reka bentuk litar bersepadu (IC), cip kecerdasan buatan (AI), dan penyelesaian
semikonduktor termaju.
Pencapaian ini bukan sahaja memperingati perjalanan Sidec selama sedekad, malah menjadi titik tolak kepada lembaran baharu yang memberi tumpuan kepada kerjasama global, inovasi teknologi mendalam dan pembinaan ekonomi digital yang mampan. Selaras dengan aspirasi Selangor untuk memimpin transformasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi, Sidec kekal komited untuk memperkasa generasi baharu usahawan, teknologis dan inovator negara.