Oleh Aida Nyan
SHAH ALAM, 9 JUL: Kerajaan Negeri menolak dakwaan bahawa pelaksanaan Sistem Parkir Pintar atau Smart Intelligent Parking (SIP) dibuat secara rundingan terus tanpa melalui proses tender terbuka.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, sebaliknya menjelaskan pemilihan syarikat pengendali dibuat menerusi proses permintaan untuk cadangan (RFP).
“Kerajaan Negeri telah meluluskan menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd.
"MBI telah mengeluarkan RFP dan sebanyak 26 syarikat menyatakan minat dalam sektor ini. Akhirnya, tiga syarikat telah disenarai pendek,” katanya.
Bercakap dalam sidang media khas di Foyer Bangunan Annex hari ini, Suee Lim memberitahu pelaksanaan SIP bertujuan menyelaras sistem kutipan parkir di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih sistematik dan efisien, seiring inisiatif Smart Selangor.
Fasa pertama yang bermula 1 Ogos ini melibatkan empat PBT iaitu:
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
- Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
- Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
Antara objektif utama pelaksanaan sistem itu adalah meningkatkan kadar bayaran parkir yang kini hanya sekitar 30 peratus serta mengurangkan isu seperti parkir bertindih dan kekurangan penguatkuasaan.
“Tujuan lain kita juga adalah supaya mereka boleh fokus kepada SIP ini sebab PBT sekarang banyak kerja, tak cukup orang. Penguatkuasa dari segi tindakan mahkamah juga tidak dapat dilakukan dengan begitu baik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa hasil kutipan akan dibahagikan sebanyak 40 peratus kepada PBT, 10 peratus kepada MBI dan 50 peratus kepada syarikat konsesi.
“Beban operasi akan diurus syarikat konsesi termasuk pembayaran gaji, latihan anggota penguat kuasa dan suntikan modal untuk sistem.
“Kita belajar dari model lama. Kini, kontrak hanya diberikan untuk tempoh 10 tahun dan 5 tahun lanjutan, dengan syarat prestasi cemerlang. Kalau gagal capai, kita akan tamatkan dan kembali kepada kerajaan,” katanya.
Mengulas dakwaan kenaikan kadar parkir, beliau menafikan perkara itu dan menjelaskan caj semasa di Selangor iaitu antara 40 hingga 60 sen sejam masih munasabah berbanding negeri lain.
Suee Lim turut berharap pelaksanaan SIP dapat menjadi contoh sistem pengurusan parkir moden, dengan kemudahan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan pusat kawalan yang memantau secara langsung operasi kawasan parkir.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan bahawa sebuah syarikat swasta dikaitkan dengan seorang ‘taikun’ telah mengemukakan cadangan untuk mengambil alih sistem parkir di Selangor dengan perkongsian hasil sebanyak 50 peratus.
Laporan itu turut mempersoalkan pelantikan syarikat berkenaan yang didakwa dilakukan secara rundingan terus tanpa tender terbuka, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai potensi kerugian kepada PBT serta beban kepada pembayar cukai.