ad
AGENDA

Halang laluan bas: Keterangan pemandu, pengayuh basikal sudah diambil

9 Jul 2025, 9:10 AM
Halang laluan bas: Keterangan pemandu, pengayuh basikal sudah diambil

SHAH ALAM, 9 JULAI: Polis sudah merakam keterangan empat individu berhubung insiden menghalang laluan sebuah bas yang dipercayai melibatkan sekumpulan pengayuh basikal di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur arah Sungai Buloh, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata pihaknya juga menerima dua laporan polis setakat ini, iaitu daripada pemandu bas dan seorang daripada penunggang basikal terbabit.

"Buat masa ini polis telah merakam keterangan empat individu dan tiada saman dikeluarkan memandangkan siasatan masih lagi berjalan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Azaharudin dilaporkan berkata polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai terbabit dalam insiden menghalang laluan sebuah bas kira-kira 9.35 pagi Ahad berdekatan lampu isyarat Batu Arang dengan kes disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.

Terdahulu, tular satu video memaparkan pertelingkahan antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas sebelum ditenangkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.