SHAH ALAM, 9 JULAI: Tiada keperluan untuk Kerajaan Selangor mengeluarkan kertas putih berhubung letupan paip gas Putra Heights sebaliknya memberi ruang untuk jawatankuasa khas yang ditubuhkan meneliti laporan siasatan lengkap insiden berkenaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata sejurus laporan semakan oleh jawatankuasa khas tersebut selesai, ia boleh dibahaskan secara terbuka di dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
“Tentang gesaan kertas putih, saya rasa kita boleh semak dapatan oleh jawatankuasa khas nanti.
“Jadi tidak perlu kertas putih, kita semak sahaja keputusan laporan jawatankuasa khas terbabit dan bincangkan. DNS kita bersifat terbuka dan tiada masalah untuk kita membentangkan (laporan jawatankuasa khas),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan laporan insiden terbabit di dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Semalam, pembangkang memberi syor kepada Kerajaan Negeri menerbitkan kertas putih tragedi letupan itu untuk dibahaskan secara terbuka di dalam Sidang DNS.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan siasatan berhubung kebakaran paip gas dilakukan dengan penuh bebas tanpa campur tangan Kerajaan Negeri.
“Pihak yang mahu pertikai tidak bebas, saya anggap boleh nilai sendiri, hasil siasatan diumumkan dan saya baca serta bentangkan laporan.
“Kejadian runtuhan di Batang Kali, ada permintaan laporan siasatan dikeluarkan dan kita membentangkan kepada orang awam,” ujarnya lagi.