SHAH ALAM, 9 JULAI: Kira-kira 5,000 dijangka memeriahkan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia Selangor 2025 berlangsung 9 Ogos depan.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata bertempat di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang ia bertujuan mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat Orang Asli.
“Penganjuran ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan komuniti Orang Asli terus diperkasa dari aspek budaya, pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Antara objektif utama festival ini adalah menyemarakkan jati diri dan warisan budaya pelbagai etnik Orang Asli seperti Temuan, Mah Meri dan Semai.
[caption id="attachment_707871" align="alignleft" width="500"] EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu bercakap kepada media selepas merasmikan program pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan Kampung Orang Asli Sungai Belankan Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Selain itu meningkatkan kesedaran awam terhadap hak, sejarah dan cabaran masyarakat Orang Asli selain menyediakan ruang untuk pemerkasaan dalam bidang seni, kraftangan, makanan tradisional dan keusahawanan.
“Ia juga bagi mempromosi kampung Orang Asli sebagai destinasi pelancongan budaya dan alam semula jadi di Selangor,” katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Katanya, menurut statistik, terdapat lebih 20,000 masyarakat Orang Asli di Selangor melibatkan 74 kampung di tujuh daerah.
“Masing-masing mengekalkan budaya tersendiri seperti tarian Sewang, Jo’oh, seni ukiran Mah Meri dan pelbagai ritual leluhur yang kaya dengan nilai murni.
“Pelbagai kejayaan komuniti Orang Asli di Selangor juga telah dibuktikan menerusi pencapaian dalam bidang pendidikan, seni dan advokasi, termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap komuniti Mah Meri di Pulau Carey,” katanya.