ad
EXCO

PBT Selangor pantau, pastikan lokasi MyKiosk berada di kawasan sesuai

9 Jul 2025, 6:38 AM
PBT Selangor pantau, pastikan lokasi MyKiosk berada di kawasan sesuai

OLEH AMAR SHAH MOHSEN

SHAH ALAM, 9 JULAI: Gerai MyKiosk yang terletak di kawasan kurang strategik atau tidak mendapat sambutan di Selangor akan dipindahkan ke lokasi lain.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan menjalankan pemeriksaan dan memastikan gerai MyKiosk diletakkan dengan teratur di lokasi yang sesuai.

“Selepas tiga bulan, jika lokasi itu didapati tidak sesuai atau gerai masih kosong serta tidak mendapat sambutan, ia perlu dipindahkan.

“Itulah kelebihan MyKiosk kerana ia boleh dipindahkan. Saya cuma minta wakil rakyat beri cadangan lokasi kepada saya atau PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Dr Afif Bahardin yang bertanya tentang usaha Kerajaan Negeri menangani isu gerai MyKiosk yang tidak disewa, terletak di lokasi tidak sesuai atau tidak selamat, serta kadar deposit yang tinggi.

Jelas beliau, deposit antara RM2,000 hingga RM3,000 dikenakan bagi memastikan penjaja menjaga gerai mereka, namun Kerajaan Negeri bersedia meneliti semula jumlah deposit itu jika ia terlalu tinggi.

Katanya, setakat ini, sebanyak 1,028 unit MyKiosk telah dipasang di Selangor dengan kos keseluruhan berjumlah RM20.33 juta. Daripada jumlah itu, RM19.5 juta disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala selebihnya sebanyak RM822,211 ditanggung oleh PBT.

Bergantung kepada lokasi, kos purata sebuah MyKiosk adalah RM19,785.80.

MyKiosk merupakan inisiatif KPKT bersama kerajaan negeri untuk menyediakan ruang niaga yang sesuai kepada penjaja kecil.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.