OLEH AMAR SHAH MOHSEN
SHAH ALAM, 9 JULAI: Selangor yakin mampu menyumbang sehingga RM30 bilion kepada industri aeroangkasa negara menjelang 2030, iaitu hampir dua kali ganda daripada sumbangan semasa.
Bercakap pada Sidang Dewan Negeri di sini hari ini, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata pertumbuhan itu akan dipacu oleh pembangunan Selangor Aero Park (SAP) di KLIA Aeropolis.
“Ini adalah kemajuan yang saya yakin dapat dicapai,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berhubung anggaran hasil negeri daripada industri aeroangkasa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Ketika majlis pecah tanah SAP Pada 5 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menyasarkan untuk menguasai 73 peratus aktiviti ekonomi aeroangkasa negara menjelang akhir dekad ini.
Beliau berkata ketika ini, Selangor menyumbang 68 peratus daripada hasil aeroangkasa negara dan SAP hanyalah “permulaan kepada sesuatu yang lebih besar”.
[caption id="attachment_704415" align="aligncenter" width="696"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak Selangor Aero Park pada Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Sze Han berkata Kerajaan Negeri menetapkan beberapa sasaran untuk membangunkan industri aeroangkasa, termasuk menjadikan Selangor hab aeroangkasa utama Asia Tenggara melalui SAP, terutamanya dalam bidang penyelenggaraan, baik pulih dan pemeriksaan (MRO), pembuatan komponen, serta teknologi penerbangan hijau.
“Kita mahu wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan akan bekerjasama dengan pihak industri serta institusi akademik yang menyediakan latihan berkaitan bagi mencapai matlamat ini.
“Kita juga berharap melalui SAP, kita dapat menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi,” katanya sambil memaklumkan bahawa kira-kira 160 syarikat aeroangkasa kini beroperasi di Selangor dengan sumbangan RM15.1 bilion kepada ekonomi negeri.
Tambah Sze Han, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah merangka lima strategi bersama untuk memastikan SAP berjaya menarik pelaburan aeroangkasa asing berimpak tinggi.
Antara strategi itu termasuk mewujudkan ekosistem bertaraf dunia dengan akses pasaran global, mempermudah urusan perniagaan dan tadbir urus yang mesra pelabur melalui penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dan memperkukuh program pembangunan bakat serta tenaga kerja untuk industri aeroangkasa.
[caption id="attachment_706641" align="aligncenter" width="675"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Taman Aero Selangor @KLIA Aeropolis di Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dua lagi strategi adalah membangunkan kemudahan logistik bersepadu yang mempunyai sambungan kepada rangkaian pengangkutan pelbagai mod dan memacu inovasi serta kemajuan teknologi.
“Kempen promosi di platform antarabangsa seperti Paris Air Show juga membolehkan Selangor mempamerkan kelebihan SAP kepada pelabur global dan menjadikan taman ini destinasi pelaburan utama.
“Kehadiran SAP dalam acara global seperti ini juga mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap kesungguhan Kerajaan Negeri membangunkan sektor aeroangkasa serta membuka peluang kerjasama yang dapat memberi nilai tambah kepada negeri,” katanya.
Sze Han berkata, MBI dan MAHB kini dalam rundingan dengan pemain industri aeroangkasa global supaya memindahkan operasi mereka ke Selangor, terutamanya dalam bidang MRO, teknologi penerbangan dan logistik pintar.