ad
BERITA UTAMA

Rumah Rehat Sabak Bernam dinaik taraf jadi pusat pelancongan warisan

9 Jul 2025, 5:30 AM
Rumah Rehat Sabak Bernam dinaik taraf jadi pusat pelancongan warisan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Rumah Rehat atau Hay Resort di Sabak Bernam akan dinaik taraf sebagai pusat pelancongan yang berkonsep warisan sekali gus menjadi tarikan pengunjung ke daerah itu.

EXCO Luar Bandar Datuk Rizam Ismail berkata naik taraf rumah rehat itu mengikut Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) 2025 untuk merancakkan pembangunan di kawasan tersebut.

“Di bawah Rancangan Tempatan MDSB 2025 fokus kawasan tersebut sebagai bandar warisan tepian sungai.

“Selain itu, kajian separuh penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menggariskan potensi rumah rehat sebagai local point (lokasi setempat) pembangunan di bawah kerangka Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA),” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sabak Sallehen Mukhyi yang ingin mengetahui rancangan Kerajaan Negeri membangunkan Hay Resort di Sabak Bernam pada Sidang Dewan Negeri di sini hari ini.

Pada masa sama, Rizam memberitahu Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dan MDSB akan mengemukakan cadangan warta resort itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat.

“Ia bagi membolehkan proses pajakan kepada pengusaha yang berkelayakan dapat dilaksanakan.

“Pengusaha yang berminat akan dinilai berdasarkan kelayakan dan kemampuan menanggung kos baik pulih dan operasi rumah rehat Sabak Bernam ini,” katanya lagi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.