SHAH ALAM, 9 JULAI: Pembinaan kemudahan awam seperti pangsapuri, kilang dan kedai di tanah milik kerajaan dibuat mengikut perancangan dan syarat ketat ditetapkan pentadbiran negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan tidak boleh dilaksanakan di kawasan tanah yang telah diwartakan untuk kemudahan awam melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Contohnya, tanah itu adalah untuk membina hospital dan sekolah kita tidak akan benarkan sebarang pembangunan lain kerana statusnya telah diwarta untuk sesuatu tujuan spesifik.
“Namun begitu, kita juga melihat beberapa kemungkinan berlaku pertukaran ataupun swapping (penukaran) terhadap tanah tertentu untuk menyelesaikan isu berkaitan penempatan setinggan ataupun peneroka bandar yang merujuk kepada kes spesifik.
“Setakat ini, kita sangat patuh terhadap sesuatu warta kalau tapak sekolah kita hanya benarkan sekolah sahaja dibina dan kalau untuk hospital hanya hospital dibenarkan,” kata Dato’ Sri Amirudin Shari pada Sidang Dewan Negeri di sini hari ini.
Amirudin menambah pembangunan juga perlu mengikut jenis tanah yang dibenarkan seperti pertanian, komersial, bangunan dan industri mengambil kira ciri-ciri tanah bagi memastikan kestabilan, keselamatan bangunan serta infrastruktur yang dibina.
“Jadi satu pertukaran status perlu dilakukan daripada pertanian kepada komersil, dari pertanian kepada industri yang memerlukan pertambahan premium tanah kepada pemilik.
“Selain itu, pembangunan kawasan memerlukan pengezonan dari pihak berkuasa tempatan. Ia melalui beberapa proses rancangan tempatan baru yang perlu dikemukakan kepada Majlis Rancangan Fizikal Negara jika pembinaan melebihi 1,000 ekar.
“Jika bawah 1,000 ekar proses pembangunan perlu dibentang kepada MMKN yang dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar,” katanya lagi.