SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 22,150 baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 bakal diagih sempena sambutan Deepavali Oktober depan, kata EXCO pembasmian kemiskinan.
V Papparaidu berkata program yang menyasarkan golongan memerlukan dan berpendapatan rendah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan peruntukan RM4.43 juta.
“Kerajaan Negeri memperuntuk RM800,000 bagi program sambutan perayaan kaum India termasuklah Deepavali, Thaipusam, Ponggal, Vaisakhi dan Ugadi.
“Pelaksanaan program sambutan perayaan di peringkat negeri ini bukan sahaja mengiktiraf kepelbagaian budaya dan agama tetapi juga diharap dapat memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan nilai murni dalam kalangan rakyat Selangor terutama komuniti India,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
[caption id="attachment_673892" align="aligncenter" width="1071"] EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu menjawab soalan ketika sesi Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua yang ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Kassim mengenai usaha pembasmian kemiskinan dalam kalangan masyarakat India di Selangor.
Mengulas lanjut, katanya peruntukan itu adalah sebahagian daripada lebih RM15 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri tahun ini, untuk menjayakan program atau inisiatif khusus untuk manfaat masyarakat India di Selangor.
Selain itu, katanya RM1.2 juta diperuntuk di bawah Program Bantuan Yuran Pengajian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi membantu pelajar komuniti India B40 membayar yuran pengajian peringkat Diploma dan Ijazah.
“Sebanyak RM1 juta disediakan di bawah Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) untuk membantu usahawan mikro dan kecil kaum India.
“Ia bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin.
“Program ini dijangka memberi manfaat kepada 100 usahawan India pendapatan bulanan seisi rumah di bawah RM3,000 seperti penjaja makanan di tepi jalan, pengusaha maruku atau kuih muih, tukang jahit dan mekanik,” katanya.
Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM5 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di bawah Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor bagi kerja baik pulih dan naik taraf infrastruktur sekolah dan memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat dan kondusif.