Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 8 JULAI: Pulau Carey bakal muncul sebagai lokasi strategik baharu menerusi pembangunan Taman Edu-Tek dan Hab Sekuriti Makanan, hasil pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) di antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bersama SD Guthrie Berhad, IJM Corporation Berhad dan Yayasan Selangor.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pembangunan itu mencerminkan visi besar Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri pintar serta peneraju dalam ekonomi hijau dan keselamatan makanan di rantau ini.
"Pulau Carey bukan sahaja akan berubah wajah dari segi fizikal dan ekonomi, tetapi juga akan menjadi simbol transformasi Selangor ke arah negeri pintar, hijau, berdaya tahan dan pusat ekonomi ASEAN dan global.
"Dengan terbinanya Taman Teknologi Pendidikan (Edu-Tech Park) ini, kita bukan sahaja akan memperkasa rakyat Selangor, malah menarik minat bakat global dan pelabur strategik dari seluruh dunia," katanya pada majlis pertukaran MoU di bangunan pentadbiran negeri, hari ini.
[caption id="attachment_709391" align="alignnone" width="956"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Yayasan Selangor, SD Guthrie Berhad serta IJM Corporation di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 8 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin berkata, kerjasama itu menjadi langkah awal ke arah pelaksanaan projek yang bakal menyokong pertumbuhan pelabuhan ketiga Selangor di Pulau Carey, sekali gus merangsang ekonomi di kawasan selatan negeri.
“Saya percaya pemeteraian MoU ini akan menjadikan pelabuhan ketiga itu nanti sebagai kawasan yang berdaya saing dengan jumlah kendalian kontena (TEU) yang tinggi, malah mampu melengkapkan keseluruhan industri pelabuhan di Selangor.
“MoU ini menunjukkan kesediaan Selangor bukan hanya menunggu pelabuhan siap baru kita nak memikirkan hab logistik, baru nak bina kawasan perumahan, baru nak fikirkan kawasan perkilangan atau infrastruktur yang patut dibangunkan misalnya.
"Tapi sebelum dimulakan ia harus dirancang dengan satu pelan induk yang komprehensif demi membangunkan kawasan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan negeri Selangor,” katanya.
Menurut beliau, zon pembangunan di Kuala Langat itu akan dibina sebagai ekosistem bersepadu berteraskan kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan infrastruktur pintar.
"Kolaborasi strategik ini turut menggambarkan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap Selangor sebagai destinasi pelaburan masa hadapan.
"Kerjasama ini menarik minat pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan negara-negara Timur Tengah, menjadikan projek ini sebagai pemangkin kepada pengukuhan kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi serantau ASEAN yang berteraskan prinsip lestari (ESG)," jelasnya lagi.
Tambah Amirudin, kerjasama berkenaan memberi peluang kepada syarikat utama seperti SD Guthrie Berhad untuk menonjol di peringkat antarabangsa dalam rantaian industri makanan global, setanding dengan pemain gergasi dunia seperti Nestlé, Cargill dan ADM.
"Dalam masa sama, kita meletakkan asas kukuh bagi keterjaminan makanan negara dan kelangsungan ekonomi rakyat.
"Oleh itu, sebagai titik mula 'Projek Perintis Pembangunan Ekonomi Pulau Carey' ini, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya PNSB, SD Guthrie, IJM Corporation dan Yayasan Selangor atas iltizam dan visi bersama ini," katanya.