OLEH AMAR SHAH MOHSEN
SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Selangor menolak dakwaan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bahawa syarikat itu tidak bertanggungjawab ke atas kejadian banjir di Taman Sri Muda.
EXCO Infrastruktur berkata meskipun IWK bukan satu-satunya punca kejadian banjir berulang namun menegaskan kelemahan sistem kumbahan yang uzur turut menyumbang kepada bah.
"Saya telah membaca laporan (penafian IWK). Walaupun mereka bukan punca utama banjir, mereka tetap menyumbang kepada masalah itu.
"Ini kerana dua loji rawatan kumbahan di Sri Muda sudah usang. Salah satu daripadanya tidak mempunyai sistem pelepasan, bermakna apabila air dalam tangki melimpah, kumbahan turut melimpah keluar.
"Satu lagi loji memang ada sistem pelepasan, tetapi ia berlawanan arah dengan aliran air dari sistem perparitan utama. Ini adalah antara isu yang perlu diselesaikan," kata Dato' Ir Izham Hashim.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning S Preakas pada sesi soal jawab dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini berhubung penafian terkini oleh IWK.
Pada 25 Jun lalu, IWK mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan bahawa banjir yang melanda Taman Sri Muda berpunca daripada proses aliran air kumbahan.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan Ahli Majlis Zon 9, N Ramu memaklumkan aliran kumbahan di dua lokasi dikenal pasti sebagai antara punca banjir kerap di kawasan itu.
Menurut IWK, pasukan operasinya menjalankan semakan dan mendapati punca utama limpahan dalam longkang dan parit adalah disebabkan kurangnya penyelenggaraan yang baik.
Mengulas lanjut, Izham berkata usaha mitigasi banjir merentasi pelbagai agensi tidak akan berjaya sekiranya hanya satu atau dua pihak sahaja menjalankan tanggungjawab.
“Kami sedang menyelaras dengan semua agensi di kawasan titik panas banjir bagi memastikan mereka memainkan peranan masing-masing. Jika tidak, banjir akan terus berlaku,” katanya.
Mengulas berhubung projek mitigasi banjir di Taman Sri Muda, Izham berkata beberapa projek mitigasi sedang dijalankan kerajaan persekutuan dan negeri.
Katanya, antara usaha jangka panjang ialah pembinaan struktur pengambilan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau, yang akan disambung semula bulan ini selepas tertangguh sekian lama akibat tebing sungai runtuh dan dijangka siap pada Januari 2026.
Selain itu, jelasnya, kerja awal bagi kolam takungan dwifungsi menelan kos lebih RM661 juta direka untuk mitigasi banjir dan sebagai sumber air telah bermula pada Julai tahun lalu dan kini dalam fasa reka bentuk.
“Ada dua lagi projek di kawasan ini, termasuk satu di Sri Muda sendiri, iaitu projek mitigasi banjir Sungai Klang di Seksyen 25 yang menelan kos RM140.72 juta. Kerja fizikal akan bermula tidak lama lagi.
“Selain itu, terdapat fasa kedua projek mitigasi banjir Sungai Rasau, yang akan menumpukan pada anak-anak sungai Klang.” katanya.
Izham berkata Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka sederhana termasuk membuat lawatan tapak untuk memahami isu setempat serta mencari penyelesaian pantas yang berimpak tinggi.
Beliau menjawab soalan ADN Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung banjir berulang di Taman Sri Muda dan langkah diambil di kawasan pengambilan LRA Sungai Rasau.