ad
AGENDA

Trump sedia tangguh lagi tarif import terhadap lebih 12 negara

8 Jul 2025, 10:06 AM
Trump sedia tangguh lagi tarif import terhadap lebih 12 negara

WASHINGTON, 8 JULAI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau mungkin menangguhkan lagi pelaksanaan tarif import terhadap beberapa negara melepasi tarikh baharu yang ditetapkan pada 1 Ogos, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketika ditanya sama ada tarikh baharu itu muktamad, Trump memberitahu wartawan: “Saya akan kata muktamad, tetapi bukan 100 peratus.”

“Jika mereka hubungi kami dan mereka kata mahu lakukan sesuatu dengan cara berbeza, kami terbuka kepada perkara itu,” tambahnya.

Trump berkata surat yang dihantar kepada lebih 12 negara - termasuk Jepun, Korea Selatan dan Afrika Selatan - mengenai rancangan tarif itu adalah “muktamad”, namun menambah: “Jika mereka hubungi dengan tawaran berbeza, dan saya suka, maka kami akan mempertimbangkannya.”

Pada Isnin, Trump menunda tarikh pelaksanaan tarif tinggi terhadap rakan dagangan dari 9 Julai kepada 1 Ogos.

Langkah itu bertujuan memastikan surcaj import yang dirancang tidak dilaksanakan sementara rundingan diteruskan, walaupun banyak butiran masih belum diselesaikan termasuk bagaimana hubungan perdagangan masa depan antara AS dan Kesatuan Eropah akan distrukturkan.

-- BERNAMA-dpa

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.