SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerja pembinaan yang dijalankan pemaju Hong & Hong Homes di lokasi kebakaran saluran gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya bukanlah punca kejadian berkenaan.
Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan siasatan polis yang disahkan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), paip saliran monsun yang berada atas saluran gas yang terbakar tidak terkesan malah keadaannya masih utuh.
“Mengikut semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pembinaan paip monsun berukuran 4.2 meter dari segi diameter dijalankan sekitar 2008 dan 2009.
“Sebelum penubuhan Pusat Unit Setempat pada 2010. Namun, secara asasnya, setiap pembangunan atau pembinaan kawasan melibatkan keizinan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membawa usul kejadian berkenaan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
[caption id="attachment_709325" align="aligncenter" width="1227"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas Tahun 2025 pada 8 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin berkata berdasarkan laporan polis, pasukan itu memaklumkan tiada kecuaian dikesan malah seluruh aktiviti pemaju disoal siasat selain gambar yang dipertontonkan kepada awam turut disiasat.
“Polis bukan sahaja menyiasat gambar tersebut. Kita turut memanggil sumber yang mengambil gambar itu dan menyemak kembali dengan data dan maklumat yang diberikan. Semua adalah berdasarkan dengan kebenaran diberikan termasuk daripada tuan tanah untuk-pembinaan tersebut.
“Malah, saya boleh sebutkan tapak titik letupan berada pada jarak lebih jauh 30 hingga 60 meter dari tapak kerja yang ditetapkan. Tiada sebarang perkara yang hendak dilindungi terhadap perkara tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, wakil rakyat Sungai Tua itu berkata kejadian berkenaan bukan berlaku di atas tanah kerajaan sebaliknya milik Petronas Gas Berhad (PGB) dan merupakan hak milik persendirian.
Jelasnya, Hong & Hong Homes yang menjalankan kerja pembinaan rumah kedai di kawasan terbabit sudah membuat permohonan dari syarikat berkenaan dan kebenaran diberi pada 20 Mac.
“PGB mahu pemaju menepati syarat keselamatan yang ditetapkan pihaknya dalam mesyuarat pra-kerja sebelum permit kerja dikeluarkan.
“Merujuk dakwaan PBT tidak menepati kriteria apabila meluluskan kebenaran merancang melibatkan kawasan zon penampan, ia (kerja pembinaan) sebenarnya melebihi enam kaki dari zon berkenaan berbanding 66 kaki yang ditetapkan,” katanya.