SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Negeri akan meneliti semula garis panduan sedia ada melibatkan peniaga luar negara, kata EXCO pelaburan.
Ng Sze Han berkata penelitian itu bagi memastikan kehadiran peniaga luar negara tidak mengganggu pelaburan perniagaan pasaran tempatan.
"Satu perjumpaan bersama persatuan peniaga akan diadakan dalam masa terdekat untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas perkara ini.
"Menerusi pertemuan ini, kita dapat lihat balik garis panduan sedia ada, adakah kita perlu tambah syarat-syarat tertentu bagi memastikan pelaburan perniagaan tidak mengganggu pasaran tempatan sedia ada.
"Bagaimanapun, dalam membantu peniaga tempatan kita adakan pelbagai latihan dan program kepada peniaga kecil dan tempatan termasuk melibatkan media sosial supaya perniagaan dapat menembusi pasaran lebih besar," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Rawang, Chua Wei Kiat berhubung kehadiran pelancong luar yang menyalahgunakan visa pelancong dengan menjalankan aktiviti perniagaan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang antara menarik pelaburan asing dan memelihara ekosistem perniagaan tempatan.
"Kerajaan Negeri juga memastikan pelaburan yang datang dan diluluskan di Selangor akan mengutamakan pelaburan yang berimpak tinggi dan membantu meningkatkan kualiti pasaran kerja untuk rakyat tempatan," katanya.