OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 8 JULAI: Tiada Ahli Dewan Negeri (ADN) Perikatan Nasional (PN) hadir pada sesi taklimat berhubung letupan paip gas di Putra Heights yang diadakan Kerajaan Negeri semalam, dedah Speaker Selangor, Lau Weng San.
Sebaliknya, beliau berkata, barisan pembangkang hanya menghantar tiga kakitangan sekretariat sebagai wakil mereka.
Weng San menjelaskan, sesi taklimat selama tiga jam itu penting kerana disampaikan oleh pihak berkuasa yang terlibat dalam siasatan dan mengandungi input teknikal yang kritikal.
“Bagaimanapun, mereka (PN) hanya menghantar tiga orang kakitangan mereka ke taklimat tersebut. Mereka dibenarkan bertanya soalan selepas itu,” katanya dalam sidang media sebelum Mesyuarat Dewan Negeri Selangor yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Weng San berkata, ketidakhadiran ADN PN adalah sebagai protes terhadap keputusannya menolak usul yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Dr Afif Bahardin untuk mengadakan sidang khas bagi membahaskan insiden letupan Putra Heights semalam.
“Inilah yang berlaku, dan saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya. Kakitangan mereka juga meminta salinan slaid pembentangan semasa taklimat itu, tetapi saya maklumkan kepada mereka bahawa ia boleh didapati di laman Facebook rasmi Menteri Besar,” katanya.
“Saya berpendapat taklimat itu sangat berguna, dengan banyak istilah teknikal yang boleh dipelajari orang ramai. Semua orang digalakkan bertanya soalan,” tambah beliau.