ad
AGENDA

Sidang Kemuncak Asean ke-47 Oktober ini dijangka terbesar dalam sejarah

8 Jul 2025, 1:38 AM
Sidang Kemuncak Asean ke-47 Oktober ini dijangka terbesar dalam sejarah

RIO DE JANEIRO, 8 JULAI: Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata beberapa ketua kerajaan dari luar Asean telah mengesahkan kehadiran mereka ke sidang berkenaan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober nanti.

Antara pemimpin yang telah mengesahkan kehadiran termasuk Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, yang ditemui Anwar di Rom pada 3 Julai, dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

Anwar berkata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, yang kini memegang jawatan Presiden Kumpulan G20, juga telah menyatakan hasrat untuk hadir.

Perdana menteri yang berada di Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17, berkata Perdana Menteri baharu Kanada Mark Carney, turut mengesahkan kehadiran beliau.

"Ini menggambarkan bahawa Sidang Kemuncak Asean Oktober nanti berkemungkinan menjadi lebih meriah berbanding penganjuran sebelum ini, bukan sahaja melibatkan negara Asean dan rakan tetap seperti Jepun, Korea Selatan dan China, malah turut disertai ramai pemimpin luar.

"Saya percaya ia akan menjadi satu tanggungjawab besar... Insya-Allah, kita dapat memikulnya bersama-sama," katanya pada sidang media ketika mengakhiri lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil yang bermula pada 1 Julai lalu.

Ketika ini, 10 negara anggota Asean ialah Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.

Selain negara anggota, antara rakan luar yang lazimnya menghadiri sidang kemuncak Asean ialah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Ketika berucap pada Forum Perniagaan BRICS di sini pada 5 Julai lalu, Lula da Silva secara rasmi mengesahkan kehadiran beliau ke Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Beliau turut menggesa usahawan Brazil supaya bersedia menyertai sidang itu, yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperluas kerjasama perniagaan.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei lalu turut menampilkan Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali kedua serta Sidang Kemuncak Asean–GCC–China yang diadakan buat pertama kali.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.