ad
AGENDA

Jenazah enam beranak dikebumikan dalam satu liang lahad

8 Jul 2025, 12:13 AM
Jenazah enam beranak dikebumikan dalam satu liang lahad

JERLUN, 8 JULAI: Jenazah enam beranak yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke Sungai Korok di Jitra, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Taqwa di sini kira-kira 11.50 malam tadi.

Terdahulu jenazah enam sekeluarga itu dibawa ke masjid berkenaan oleh beberapa kenderaan jenazah dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, selepas proses bedah siasat selesai.

Jenazah tiba di masjid itu kira-kira 10 malam dan solat jenazah disertai kira-kira 500 jemaah terdiri keluarga, saudara serta penduduk setempat.

Suasana hiba menyelubungi seluruh ahli keluarga terutama anak sulung pasangan terbabit iaitu Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang terselamat kerana tidak turut serta bersama keluarganya pada hari kejadian, yang menyaksikan kesemua insan tersayang terkorban.

Sabtu lalu, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan, pada awalnya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman, Jitra kira-kira 5.30 pagi.

Misteri kehilangan enam beranak itu akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan kesemua mayat yang ditemukan dalam kereta yang berada di dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja, Jitra pada awal pagi Isnin, ialah keluarga terbabit.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim dilapor berkata polis percaya kereta dinaiki enam sekeluarga itu terbabas ke dalam sungai berkenaan berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan kejadian juga mendapati kemalangan berkenaan tidak melibatkan kenderaan lain memandangkan tiada kesan kemalangan atau kesan brek.

Sementara itu, adik kepada Mohamad Azim Izat, Nor Syafiqah Ishak, 28, berkata beliau bagi pihak keluarga menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari keluarga abangnya sehingga kesemua jenazah ditemukan.

"Terima kasih kepada semua pihak berkuasa, polis dan bomba serta semua orang awam yang bersama-sama memberikan maklumat sehingga semua jenazah ditemui.

"Doakan kami sekeluarga kuat dan dipermudahkan urusan kami selepas ini," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.