ad
BERITA UTAMA

SIWANIS: Pemimpin wanita disaran teladani semangat perjuangan Zohran Mamdani

7 Jul 2025, 10:50 AM
SIWANIS: Pemimpin wanita disaran teladani semangat perjuangan Zohran Mamdani
SIWANIS: Pemimpin wanita disaran teladani semangat perjuangan Zohran Mamdani
SIWANIS: Pemimpin wanita disaran teladani semangat perjuangan Zohran Mamdani

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 7 JUL: Kisah keberanian dan keteguhan seorang anak muda dari New York, Zohran Mamdani wajar dijadikan inspirasi kepada bakal pemimpin wanita yang sedang digilap melalui Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata Mamdani, anak imigran beragama Islam yang pada awalnya tidak dikenali, berjaya menewaskan tokoh-tokoh politik ternama termasuk mantan gabenor terkenal Andrew Cuomo dalam pemilihan awal Datuk Bandar New York.

“Namun bagaimana beliau menang? Beliau mendengar dan menggembleng suara rakyat. Sokongan kepada Mamdani bersifat organik, datang sendiri daripada rakyat kerana beliau melancarkan kempen mengetuk pintu ke pintu, ke pusat-pusat komuniti, bercakap dan mendengar sendiri keluhan rakyat.

“Mesejnya mudah tetapi menyentuh hati. Inilah contoh pemimpin rakyat yang wajar diteladani,” katanya ketika berucap kepada mentor dan peserta SIWANIS majlis penyerahan perwakilan dan taklimat mentor dan mentee SIWANIS di bangunan pentadbiran negeri, pagi tadi.

[caption id="attachment_709177" align="aligncenter" width="798"] EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari (dua, kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Faridah Abdul Samad (dua, kiri) bergambar bersama wakil Sidang Wanita Selangor ( SIWANIS) Dewan Undangan Negeri Taman Templer pada majlis penyerahan perwakilan dan taklimat mentor dan mentee SIWANIS di bangunan pentadbiran negeri, pada 7 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Menurut Anfaal, rakyat New York memilih seorang pemimpin berani yang memperjuangkan masa depan mereka tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau rupa.

“Kepada semua bakal pemimpin wanita di sini, ambillah semangat ini. Jangan takut untuk turun padang, dengar suara rakyat dan perjuangkan isu-isu sebenar mereka,” katanya.

Beliau turut mengulangi tekad SIWANIS untuk mencapai 50 peratus wakil wanita di setiap peringkat pembuatan keputusan sebagai satu perjuangan berprinsip dan bukan sekadar angka.

“Sebab itu SIWANIS dengan berani tanpa segan silu meletakkan aspirasi 50 peratus wakil wanita di setiap peringkat pembuatan keputusan. Biar orang kata 'alahai 30 peratus pun susah nak 50 peratus?'

"Tapi kita tetap dengan aspirasi kita, dan kita bekerja keras ke arah aspirasi ini, kerana kita percaya, aspirasi ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada wanita, tetapi kepada seluruh warga Malaysia," katanya.

[caption id="attachment_709176" align="aligncenter" width="815"] Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Faridah Abdul Samad berucap majlis penyerahan perwakilan dan taklimat mentor dan mentee SIWANIS di bangunan pentadbiran negeri, pada 7 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Faridah Abdul Samad berkata aspirasi tersebut mampu direalisasikan melalui komitmen parti politik serta kesediaan mereka mengangkat usul itu dalam SIWANIS, meskipun penyertaan wanita kini masih kurang daripada 15 peratus.

SIWANIS bertujuan membentuk barisan pemimpin wanita lebih berkualiti, berkemahiran dalam isu dan dasar serta berupaya mengamalkan tadbir urus baik.

Program itu antara lain memberi fokus kepada kesaksamaan gender di peringkat pembuatan keputusan dan dasar, pemerkasaan wanita, inklusiviti, kebolehcapaian pekerjaan serta kos sara hidup.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.