ad
AGENDA

Mahkamah: Pengawal keselamatan didakwa bunuh lelaki dalam pergaduhan

7 Jul 2025, 8:14 AM
Mahkamah: Pengawal keselamatan didakwa bunuh lelaki dalam pergaduhan

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di tepi jalan di Sentul, dua bulan lepas.

K. Nagentherah, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh K. Kumaran, 44, di tepi jalan Taman Intan Baiduri, Sentul, di sini pada 9.23 malam, 25 Mei lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Mohd Yunus Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.