SHAH ALAM, 7 JUL: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 (RUU 2025) yang memperkukuh peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas pentadbiran Islam di negeri ini.
RUU berkenaan dibentangkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan enam Ahli Dewan Negeri.
Menurut beliau, pindaan itu bertujuan memperuntukkan secara jelas kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) termasuk Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Tauliah dan Jawatankuasa Rayuan Tauliah.
“Ia juga bertujuan mencegah pelantikan individu berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Selain itu ia bagi memastikan pentadbiran Islam Negeri Selangor selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama,” katanya semasa membahaskan RUU tersebut.
Dr Mohammad Fahmi menjelaskan, pindaan yang dibawa mengandungi 10 fasal, meliputi satu tafsiran baharu, satu pindaan tafsiran, dua peruntukan baharu, lima peruntukan pindaan serta satu peruntukan peralihan.
Jelasnya, pindaan itu akan memberikan implikasi penting terhadap tatacara pelantikan antaranya membolehkan Mais melaksanakan tapisan yang lebih menyeluruh terhadap calon yang dicadangkan melalui rujukan kepada Jawatankuasa Fatwa.
“Mais akan mempunyai kuasa lebih tuntas menilai latar belakang calon dari sudut pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebelum sebarang pelantikan dibuat dengan rujukan akan dibuat kepada Jawatankuasa Fatwa secara pentadbiran untuk menentukan parameter bagi individu yang dicalonkan adalah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau menambah, pelantikan yang selari dari segi pegangan akidah ini akan mengurangkan risiko percanggahan pendapat dan konflik dalaman institusi agama.
“Apabila semua pihak yang terlibat dalam penggubalan dan penguatkuasaan fatwa berada dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah, keberkesanan pewartaan dan penerimaan masyarakat terhadap fatwa akan meningkat.
“Umat Islam juga akan lebih yakin terhadap ketelusan, kebolehpakaian dan kewibawaan institusi agama apabila pentadbiran dibuat secara konsisten dengan pegangan yang muktabar,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, pindaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperteguh dasar Islam yang bebas daripada pengaruh luar yang menyeleweng, selaras dengan prinsip yang dipersetujui autoriti agama tertinggi negara.
“Pelaksanaan dasar yang menekankan pelantikan dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah suatu tindakan bersifat diskriminasi, sebaliknya merupakan satu keperluan mutlak dalam konteks pengurusan agama Islam yang tulen dan tersusun sejajar konsep hisbah dalam Islam, di mana penjagaan kesucian agama mesti dipelihara oleh pemerintah dan agensi-agensi yang diberi kuasa,” katanya.