Oleh Aida Nyan
SHAH ALAM, 7 JUL: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan menaikkan nisbah parkir bagi unit pangsapuri perkhidmatan dalam kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD) daripada 1:1 kepada 1:2 menggunakan sistem tandem.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata cadangan itu bertujuan mengurangkan tekanan terhadap ruang parkir sedia ada dan menangani isu kesesakan dalam komuniti berintensiti tinggi.
[caption id="attachment_661739" align="aligncenter" width="742"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim menjawab pertanyaan ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
“Sebahagian besar pembeli atau penyewa unit terdiri daripada golongan profesional dan isi rumah dua pendapatan yang memiliki lebih daripada satu kenderaan.
“Ini menyebabkan kesukaran kepada penghuni dan menyumbang kepada penggunaan ruang awam secara tidak terkawal,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Menurutnya, penggunaan sistem parkir tandem merupakan penyelesaian praktikal kerana tidak memerlukan ruang lantai tambahan serta membolehkan reka bentuk asal bangunan dikekalkan.
“Tambahan kapasiti ini mampu memberi kesan kepada ruang jalan awam dan kawasan kejiranan berdekatan, selain mengurangkan tekanan kepada kemudahan sedia ada dan mengurangkan konflik sosial,” katanya lagi.
Jelas Suee Lim, langkah menaikkan nisbah parkir juga menyokong peralihan bertahap ke arah penggunaan pengangkutan awam serta meningkatkan nilai pembangunan.
“Ia juga menambah nilai pasaran kepada pembangunan dan memenuhi jangkaan pembeli yang melihat ruang parkir sebagai elemen utama dalam keputusan peraburan pembelian kediaman tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze, beliau menegaskan dasar berkenaan akan disemak semula secara menyeluruh agar pelaksanaannya memberi kesan positif kepada komuniti setempat.
Bagi memastikan matlamat asal pembangunan TOD tidak terjejas, beliau turut mencadangkan pelaksanaan dasar had maksimum parkir, reka bentuk bandar mesra pejalan kaki dan berbasikal serta pembangunan guna tanah bercampur untuk mengurangkan keperluan perjalanan harian.
Katanya, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan juga disaran memperkenalkan pelbagai insentif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Perkenalkan tawaran tambang diskaun pas bulanan, subsidi serta kemudahan integrasi ‘park and ride’ yang dikawal dengan baik,” katanya.
Tambah beliau, sebarang dasar yang boleh meningkatkan penggunaan kenderaan di zon TOD perlu diteliti secara kritikal agar tidak bercanggah dengan objektif pembangunan mampan.