SHAH ALAM, 7 JULAI: Tanah rizab Melayu (TRM) yang diambil kerajaan bagi tujuan pembangunan akan diganti mengikut keluasan dan nilai hartanah, kata Dato’ Menteri Besar
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ada sesetengah gantian menerima tapak lebih besar berbanding ukuran asal kerana ia mengambil kira nilaian yang ditetapkan.
“Untuk dapatkan nilai tepat, kadang-kadang ada sedikit perubahan, ada yang kurang, ada lebih tapi dasar kita memang akan gantikan dengan jumlah lebih.
“Kalau (contoh) ambil empat ekar tanah, kita ganti 4.5 ekar malah sehingga enam, tujuh ekar. Ini memang dasar secara lazim sebab kita kira faktor nilai dan tuntutan pembangunan selain lindungi kepentingan bumiputera,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata tindakan kerajaan membatalkan warta TRM bertujuan untuk menjalankan projek pembangunan negara dan infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Macam Loji Rawatan Air Sungai Rasau. Kita batalkan beberapa lot. Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) juga buat beberapa pembatalan. Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga, yang libatkan beberapa jajaran rek.
“Keutamaan kita batalkan warta ialah projek kerajaan dan infrastruktur yang memerlukan dan sangat strategik untuk dilaksana. Macam TRM Sungai Way. Kita batalkan untuk bangunkan kawasan strategik baharu,” katanya.
Amirudin berkata melalui dasar terkini khususnya selepas 2016, pentadbirannya menetapkan pengambil TRM perlu diganti segera dan bersekali dengan proses pembatalan.