SHAH ALAM, 7 JUL: Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa Dua, Pakej Satu yang melibatkan daerah Hulu Langat kini berada di peringkat reka bentuk terperinci, kata EXCO infrastruktur.
Dato' Ir Izham Hashim berkata sebaik peringkat itu selesai, kerja pengambilan tanah dan pengalihan utiliti akan dilaksana sebelum pembinaan fizikal bermula pada 2027.
“Projek ini merangkumi kawasan besar seperti Bandar Kajang, Kampung Sungai Serai, Kampung Sungai Lui, Kampung Dusun Tua Sungai Nanding, Taman Sri Jelok dan Sungai Kantan.
“Ia melibatkan kerja pendalaman sungai, pembinaan ban, kawalan pintu air, pemasangan pam serta kolam takungan air,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Wira Johan Abd Aziz mengenai status semasa projek berkenaan.
Jelas Izham, Kerajaan Negeri memperuntuk RM36 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan RM512 juta kepada JPS Malaysia bagi menjayakan projek berkenaan.
Sebelum ini, Ir Izham memberitahu Kerajaan Negeri turut melaksanakan pendekatan jangka pendek menerusi inisiatif ‘Quick Win’ di tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Subang Jaya, Klang dan Shah Alam.
Usaha itu bertujuan mengurangkan risiko banjir sementara menunggu pelaksanaan projek mitigasi berskala besar seperti di Hulu Langat.