ad
EXCO

Soal selidik: Lebih 1,000 pelajar sekolah menengah berisiko alami kemurungan

7 Jul 2025, 3:33 AM
Soal selidik: Lebih 1,000 pelajar sekolah menengah berisiko alami kemurungan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Sebanyak 2.8 peratus daripada 36,428 pelajar sekolah menengah yang menjalani saringan Minda Sihat Murid 2024/2025 dikesan mengalami tanda awal kemurungan berisiko tinggi.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata angka membabitkan 1,020 pelajar itu dikesan menerusi kajian soal selidik pesakit yang dijalankan terhadap mereka.

Jelasnya berdasarkan analisis data saringan program berkenaan juga, tahap tingkah laku psikologi negatif dalam kalangan pelajar negeri ini dikesan berada dalam keadaan terkawal.

“Bagaimanapun pelajar tergolong dalam kategori krisi dan khusus akan mendapat intervensi berfokus dan aktif dari guru bimbingan dan kaunseling.

“Program intervensi ini diperluas secara menyeluruh ke sekolah rendah, khususnya melibatkan pelajar tahun lima dan enam. Hasrat utama untuk memupuk kesedaran awal tentang kepentingan kesihatan mental serta membina daya tahan diri dalam kalangan pelajar,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sentiasa bersedia dan memberi keutamaan kepada isu berkaitan kesejahteraan emosi pelajar termasuk pelaksanaan Program Minda Sihat.

Katanya program merangkumi lima strategi iaitu promosi, saringan, intervensi, konsultasi dan rujukan itu antaranya bertujuan mencegah masalah emosi, memperkasa sosioemosi selain menyokong kesejahteraan mental.

Pada Disember tahun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi menunjukkan peningkatan dua kali ganda.

Beliau berkata berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan itu daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada tahun 2023.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.