SHAH ALAM, 6 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik memperuntuk RM60,000 tahun ini, bagi menyokong program kemasyarakatan melibatkan individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk.
Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan merangkumi pelbagai aspek termasuk bantuan pendidikan, aktiviti komuniti serta program kebajikan.
Jelasnya bantuan itu juga bertujuan memberdaya dan memperkasa peranan komuniti setempat menerusi pelaksanaan dan penganjuran program berimpak tinggi.
“Ini sebahagian daripada usaha pejabat DUN Kota Anggerik untuk menyantuni masyarakat dalam kawasan, yang mana sumbangan berbentuk bantuan termasuk daripada segi pendidikan dan mengerakkan aktiviti-aktiviti komuniti.
“Yang penting program-program mereka memberikan impak kepada komuniti seperti gotong royong membersihkan kawasan dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian Insentif Haji Muassasah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI-DUN Kota Anggerik 2025 di masjid negeri di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 127 jemaah DUN Kota Anggerik menerima insentif haji bernilai RM1,000.