SHAH ALAM, 6 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menarik balik tauliah mengajar agama seorang penceramah bebas yang dikaitkan dengan kes penipuan wang dan penyebaran video lucah, sejak 2022.
Pengerusi Mais berkata individu berkenaan pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada September tahun lalu kerana memberi ceramah tanpa tauliah dan kes tersebut sedang dibicara di Mahkamah Rendah Syariah.
Menurut Dato’ Setia Salehuddin Saidin, seorang individu yang juga merupakan salah seorang pentadbir surau terbabit turut disiasat kerana menganjurkan program ceramah berkenaan.
“Mais menegaskan bahawa pihak Jais sentiasa memantau rapat perkara tersebut dan tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat.
“Mais menzahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa individu yang masih terus mengajar agama Islam di Selangor walaupun tidak mempunyai tauliah mengajar ataupun tarikh tauliahnya telah luput,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Salehuddin menambah, Mais telah menarik balik tauliah mengajar agama terhadap 35 individu sejak 2022 kerana melanggar syarat tauliah mengajar, antaranya melakukan jenayah dan memegang jawatan dalam politik.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat penceramah bertauliah yang melanggar syarat tauliah dan etika berikutan tindakan pentadbir masjid yang tidak cakna dengan kandungan ceramah yang disampaikan.
Jelasnya, sikap tersebut akan mengundang persepsi negatif masyarakat dan memberi imej yang buruk terhadap Islam selain menyumbang kepada penyelewengan dalam menyampaikan ilmu.
“Mais menegaskan bahawa semua dasar mahu pun keputusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dibuat dengan teliti serta telah disembah maklum dan diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam,” katanya.
Terdahulu, tular laporan mengenai seorang penceramah bebas yang berdepan pelbagai dakwaan membabitkan penyebaran video lucah, penipuan wang dan aduan daripada mutawif umrah.
Lelaki berusia 39 tahun itu, yang aktif menyampaikan dakwah di media sosial serta sebagai penceramah jemputan, kini dipercayai berada dalam pemantauan dan siasatan pihak berkuasa.