OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
SHAH ALAM, 6 JULAI: Pihak yang terlibat dalam pembuangan dan pembakaran sampah secara haram di Sungai Tangkas, Kajang digesa supaya menghentikan segera kegiatan itu atau berdepan tindakan tegas.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato' Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencemaran haram yang menjejaskan keselamatan penduduk dan alam sekitar.
“Kawasan Sungai Tangkas memang dikenal pasti sebagai tapak sampah haram yang aktif, dipercayai didalangi sindiket tertentu.
"Kita ambil serius perkara ini kerana ia menyebabkan pencemaran dan kebakaran yang menyusahkan penduduk.
“Kerajaan Negeri akan ambil tindakan paling keras termasuk menyita kenderaan yang digunakan untuk membuang sampah haram,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_706121" align="alignleft" width="479"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan sudah diarahkan turun ke lokasi untuk semakan dan tindakan susulan. Pemantauan juga akan dilakukan secara berterusan bagi mengelak perkara sama berulang.
Suee Lim turut memaklumkan Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi panas bagi mengesan dan menangkap pelaku yang terlibat.
“Masalah ulat sampah ini memang belum selesai sepenuhnya. Pembakaran terbuka yang berlaku dipercayai berpunca daripada perbuatan sindiket yang mahu melupuskan sampah secara haram,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan mendedahkan masalah tapak pelupusan haram dan pembakaran terbuka di sekitar Sungai Tangkas telah lama berlarutan.
Sehubungan itu, beliau menggesa penyelesaian menyeluruh dilaksanakan segera bagi menangani isu berkenaan secara tuntas, bukan hanya bergantung kepada tindakan sementara.
Syahredzan turut mencadangkan pemasangan CCTV bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.