ad
AGENDA

Polis tembak mati seorang lagi penjenayah, aktif lakukan samun bersenjata

6 Jul 2025, 12:32 AM
Polis tembak mati seorang lagi penjenayah, aktif lakukan samun bersenjata

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seorang suspek yang mempunyai lebih 30 rekod jenayah mati ketika berbalas tembak dengan polis di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani jam 7.50 malam tadi.

Suspek berusia 34 tahun itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang mati ditembak dalam kejadian di Jitra, pagi semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek ditembak dalam operasi khas yang dilakukan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama pegawai dan anggota polis dari JSJ Kontinjen Kedah, lapor portal Berita Harian.

"Suspek yang berasal dari Perak yang juga ahli kumpulan samun terbabit dalam samun bersenjata api di semenanjung Malaysia membabitkan empat negeri.

"Kita berusaha menjejaki suspek dan usaha menahannya dijalankan dan berlaku berbalas tembak sehingga menyebabkan penjenayah terbabit tumpas," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Fadil berkata, dalam kejadian ini, satu senjata api ditemui dan beberapa kes yang lain.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan ini aktif melakukan samun kedai emas sejak 2022 membabitkan kerugian lebih RM6 juta yang direkodkan.

"Malah kita percaya ada banyak lagi kejadian samun membabitkan kilang, premis perniagaan, kedai emas yang berada di negeri lain yang kita percaya ada hubungi kait dengan kejadian yang dilakukan kumpulan ini.

"Setakat ini kita kenal pasti kumpulan ini terbabit dalam belasan orang dan akan ada lagi beberapa tangkapan serta serbuan dalam masa terdekat yang akan diambil tindakan.

"Berkenaan dengan suspek ini mempunyai lebih 30 rekod jenayah dan setakat risikan yang kita lakukan, suspek juga terbabit dalam tiga kes terbaru yang berlaku di Melaka pada Disember lalu dan di Nilai, Negeri Sembilan pada Mac lalu serta di Ipoh, Perak," katanya.

Fadil berkata, pihaknya percaya kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian berbalas tembak dengan polis di susur masuk Kilometer 38 Lebuhraya Utara Selatan dari Bandar Darul Aman di Jitra menghala ke selatan yang berlaku pada jam 8.05 pagi tadi. (semalam).

Katanya, suspek antara yang mengetuai kumpulan dalam kejadian samun bersenjata api yang saya nyatakan tadi.

"Apa yang kita tahu suspek dipercayai berasal dari Perak dan kesemua kejadian jenayah terancang seperti ini terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan gengsterism, pemerasan dan perebutan kuasa," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.