Oleh Fazleena Hishamuddin
Lily, seorang ibu muda duduk di bangku kayu sebuah taman tasik yang permai. Anak dalam pangkuannya merengek halus. Dia menyingkap blausnya sedikit, lantas menyuakan payudara dengan santai dan bersahaja. Perempuan bertahi lalat tepat di tengah hidung itu menyunggingkan senyuman, sambil membelai sang anak yang sedang rakus menyedut susunya.
Orang lalu lalang hanya mencuri pandang seketika, namun tiada seorang pun yang berani bertindak lebih dari itu. Semua sedia maklum–alat pengesan emosi kini tersebar seperti CCTV. Lebih pintar, lebih sophisticated. Ia membaca gelombang otak, niat dan emosi–dan jika ada ‘bara’ dalam dada lelaki yang melintas, notifikasinya dihantar terus ke balai berdekatan.
Lily mengusap ubun anaknya sambil bermonolog:
Syukur, akhirnya dunia sedar bahawa hormat itu keperluan, bukan pilihan.
Di Kota Valoria–seorang wanita baru saja dilantik menjadi Menteri Pembangunan Sosial dan Wanita. Beliau mewartakan:
SEMUA PEREMPUAN BOLEH MENYUSUKAN ANAK PADA BILA-BILA MASA, DI MANA SEKALIPUN.
Sebelum ini di bawah pemerintahan menteri lelaki, ia dianggap larangan. Menyusu di ruang awam ibarat melakukan dosa. Kini, wanita bebas menyusui anak mereka tanpa rasa takut atau malu.
Siapa saja lelaki yang memandang dengan perasaan jelek, tak puas hati dan benci–akan didakwa. Dengan pemasangan alat pengesan emosi di serata pelusuk kota–sesiapa yang cuba mengingkari akan dikenakan tindakan.
Valoria telah berubah sekelip mata. Perempuan tak perlu lagi sembunyi, berlari ke ruangan tertutup atau menahan tangis anak demi menjaga kesopanan dan kesusilaan. Semata-mata untuk memelihara pandangan lelaki.
Mereka yang terbiasa mengamati dunia dengan keangkuhan patriarki¬, kini harus belajar menunduk–bukan kerana segan, tetapi kerana diawasi.
Tidak lagi kedengaran bisikan aneh atau lirikan curi-curi mata yang menjalar seperti ular di pasar pagi. Atau mata yang menjalar seperti kucing liar mengendap mangsa di balik timbunan kotak.
Di terminal LRT, pasaraya, lobi hospital, dewan serbaguna–perempuan-perempuan berdiri mahupun duduk dengan penuh keunggulan–menyusui anak mereka tanpa ragu, seolah-olah baru hari itu mereka benar-benar menjadi ibu.
Sejak minggu lalu, sudah tiga orang lelaki didakwa. Yang pertama, seorang penjaja jalanan. Dia menunduk malu ketika wajahnya terpampang di skrin-skrin kota, bertulis:
Pemantauan: Gangguan Visual Seksual. Berhati-hati dengan lelaki ini.
Yang kedua, seorang mahasiswa. Dan yang ketiga, seorang ulama terkenal yang punya jutaan pengikut di media sosial.
“Alat pengesan emosi? Macam melampau je.” katanya kepada teman sekerja di bilik berita.
“Macam mana kalau ia silap baca niat seseorang?”
Joe seorang wartawan lapangan, skeptikal terhadap undang-undang baharu ini. Bukan tak sokong hak wanita, tapi dia tertanya-tanya–kuasa ni benar-benar telus atau ada agenda lain disebaliknya.
Lima hari pertama, Joe kekal profesional–turun ke jalan, bertanya, mendengar, menulis tanpa berat sebelah. Namun hari kelima, sesuatu mengubah segalanya.
Di perkarangan perpustakaan awam, pandangan Joe secara spontan tertumpu pada seorang ibu yang sedang menyusui. Tanpa rasa janggal atau terganggu¬–hanya fikirannya ligat menimbang sudut kamera, pencahayaan, dan tajuk artikel. Tiba-tiba, pergelangan tangannya bergetar.
Notifikasi kecemasan: Sila lapor diri di Balai Etika Visual dalam masa 30 minit.
Wajahnya pucat. “Ini mesti salah!” bisiknya sambil melihat alat pengesan di pergelangan tangan.
Namun sistem tidak pernah silap atau setidaknya, itulah yang dikatakan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Wanita dalam setiap siaran media.
Kini Joe berdiri di persimpangan: menjaga integriti atau melawan sistem yang dikagumi sebagai penyelamat wanita–tanpa menjadi musuh mereka.
Joe duduk di ruang tamu apartmennya, jari menggenggam cawan kopi sejuk. Gelang pengesan di pergelangan tangannya berkelip lampu biru perlahan, seakan mengingatkan setiap denyut jantungnya direkod.
Momen di perpustakaan itu terus bermain dalam ingatannya.
Bayangan ibu menyusui, cahaya menerobos tingkap, rengekan bayi, dan kelipan gelang pengesan di tangannya. Tiada yang salah, tapi sistem tetap menuduh–dan itu sudah memadai.
Bagaimana kalau sistem ini tak sempurna? Atau lebih menakutkan, bagaimana kalau ia digunakan bukan untuk melindungi, tapi mengawal?
Bisik dalam hatinya bertalu-talu.
Joe menghubungi Ariana, bekas jurutera sistem pengesan emosi yang hilang dari radar selepas digugurkan dari projek besar itu. Mereka bertemu di lorong sempit belakang bengkel cetak digital, jauh daripada pengawasan.
“Sistem itu tak membaca niat. Ia menafsir,” ujar Ariana sambil menyelak helaian laporan dalaman.
“Ia melihat gelombang otak, tetapi keputusan akhir ditentukan algoritma yang telah diajar dengan data–dan data itu. Yang dikumpul oleh manusia juga Joe.”
“Ada kesalahan?” tanya Joe.
“Bukan satu, tapi berpuluh-puluh. Ia dilabel sebagai ‘anomali statistik’ dan disembunyikan. Tak pernah masuk laporan awam.”
Joe termenung. Tangan kanannya menggenggam kolar jaket–geram, gelisah dan entah apa lagi.
Dia kembali ke bilik berita, membawa segala bukti dan catatan. Dia menulis sepanjang malam.
Tajuknya:
“Pelindung atau Penindas?: Bayang Gelap di Balik Keadilan Valoria”.
Dia tidak menyerang hak wanita atau menolak perlindungan. Dengan nada tenang, dia mengangkat suara ibu-ibu yang bersyukur dapat menyusui dengan bebas–namun gusar sistem ini mungkin berubah menjadi alat senyap yang menghukum tanpa belas.
Dia menulis tentang pelajar autistik yang disalah tafsir, peniaga yang pandangannya kabur akibat strok ringan, dan jurutera yang disenyapkan kerana bersuara. Dia menulis tentang dirinya sendiri–seorang wartawan yang cuba memahami dunia sekeliling, namun kini dihukum kerana satu sekilas pandang yang tidak pernah diminta.
Terbit artikel itu pada pagi Isnin. Menjelang tengah hari, ia menjadi berita utama di seluruh kota.
Menteri Pembangunan Sosial dan Wanita tampil dalam satu sidang khas. Wajahnya tenang, senyum masih terukir di bibir, namun sinar matanya tidak lagi sehangat dulu.
“Sistem ini tidak sempurna, namun ia perlu,” katanya. “Kami akan menilai semula operasinya. Sementara itu, pengaktifan automatik pengesanan emosi akan ditangguhkan buat sementara waktu.”
Kota Valoria senyap seketika. Ada yang marah, ada yang lega. Ada yang tidak tahu mahu berpihak ke mana.
Beberapa hari kemudian, Joe berdiri di taman yang sama. Air pancut berdenting perlahan. Di bangku batu yang berdekatan dengannya, seorang ibu muda menyusui anaknya dengan tenang.
Joe tidak menjauh. Tidak juga mengerling. Dia hanya berjalan perlahan, dan ketika berselisih, dia tunduk sedikit–sebagai tanda hormat, bukan pengawasan.
Wanita itu membalas dengan senyuman manis dan anggukan lembut, seolah-olah mengerti bahawa pada hari itu—dia tidak dilihat sebagai jasad, tetapi dihargai sebagai seorang ibu.
Gelang di pergelangan tangan Joe kini bisu. Tiada kelipan. Tiada amaran.
Dalam kesenyapan itu, Joe mengerti: hormat yang sebenar tidak datang daripada ketakutan, tapi daripada kesedaran. Melalui kefahaman nilai insan.
Joe memandang langit Valoria dengan dada yang sebu.