SUBANG JAYA, 4 JULAI: Kerajaan Negeri terbuka sekiranya terdapat mana-mana badan bebas ingin menjalankan siasatan berhubung kejadian letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu, kata Dato' Menteri Besar.
Jelas Dato' Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri tidak berselindung atau menyembunyikan sebarang hasil siasatan kerana ia dilakukan secara terprinci berdasarkan sampel paip dan tanah selain pergerakan air.
"Ada tohmahan kata kita selindung sedangkan siasatan dilakukan secara terperinci...ada pula dakwaan kata arahan daripada saya tutup dapatan, boleh tanya polis dan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja (JKKP).
"Malah, ada dakwaan ia berkaitan projek Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, itu paling liar dan tidak tepat. Terpulang jika ada pihak hendak buat siasatan, kita bagi cuma kita sudah buat sebaiknya dengan terperinci.
"Kerajaan Negeri tidak sembunyikan apa-apa atau bertujuan hendak mengenakan atau ambil tindakan menganiaya mana-mana pihak. Fokus kita adalah selepas laporan dikeluarkan apa perlu dibuat dan tindakan diambil untuk elak kejadian berulang," katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di sini semalam.
Pada masa sama, Amirudin turut memaklumkan satu sesi penerangan khas akan diadakan bersama ahli dewan negeri (ADN) dan ahli parlimen berhubung siasatan insiden tersebut.
"Saya akan buat penerangan kepada ADN dan ahli parlimen yang berminat untuk mendengar laporan siasatan kerana banyak aspek teknikal.
"Namun, perlu tunggu sehingga laporan ini siap ditulis sepenuhnya untuk diterbitkan," ujarnya.
Sebelum ini, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) tidak berpuas hati insiden tersebut diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan mendesak siasatan semula dijalankan.
Kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi 1 April lalu, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Pihak bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.